LONDON: Harapan Tottenham untuk mengharungi musim baharu Liga Perdana Inggeris tanpa gangguan kini terjejas apabila James Maddison disahkan mengalami kecederaan serius.
Pemain tengah England itu bakal diketepikan hampir sepanjang musim selepas ligamen anterior cruciate (ACL) di lutut kanannya koyak.
Maddison cedera ketika aksi pramusim menentang Newcastle di Korea Selatan dan terpaksa dikeluarkan dengan pengusung.
“Kami sahkan James Maddison akan menjalani pembedahan akibat kecederaan ACL di lutut kanan.
“Pemain tengah berusia 28 tahun itu cedera ketika aksi pramusim menentang Newcastle United di Seoul, dan akan memulakan pemulihan selepas pembedahan,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Kecederaan ini turut menjejaskan peluang Maddison untuk merebut tempat ke Piala Dunia bersama skuad kendalian Thomas Tuchel.
Tottenham yang muncul juara Liga Europa musim lalu bakal bertemu PSG dalam aksi Piala Super UEFA pada 13 Ogos ini.
Tiga hari kemudian, Spurs akan memulakan kempen liga menentang Burnley tanpa Maddison di jentera tengah. – AGENSI