Kerajaan menyasarkan peningkatan sebanyak 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030, selaras dengan perubahan landskap ekonomi dan keperluan industri masa hadapan.
Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Timur, Zulkifli Mat Daud berkata, bagi mencapai matlamat itu, sebanyak 60 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disasarkan untuk menyertai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) sebagai laluan kerjaya utama.
Sehubungan itu katanya, Program jerayawara (outreach) UP_TVET 2025 peringkat negeri Pahang dianjurkan sebagai sebahagian usaha mempromosikan kemasukan pelajar ke institusi kemahiran di seluruh negara.
“Sebagai salah satu pusat latihan kemahiran utama di Pahang, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh berperanan penting dalam membekalkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, selaras dengan keperluan industri semasa dan Revolusi Industri 4.0,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Pelajar selepas merasmikan program berkenaan di IKTBN Temerloh baru-baru ini. Kira-kira 250 peserta yang terdiri daripada guru bimbingan, kaunselor serta pegawai Pejabat Pendidikan
Daerah (PPD) di bawah Kementerian Pendidikan hadir menjayakan program tersebut.
Menurut Zulkifli, program jerayawara berkenaan bertujuan memberi pendedahan dan kefahaman berkaitan penggunaan Portal UP_TVET sebagai platform berpusat memohon kursus TVET yang ditawarkan di seluruh negara. – UTUSAN