LAHAD DATU: Seorang pelajar tingkatan empat berusia 16 tahun mendakwa dicabul oleh bapa saudaranya sejak berusia 10 tahun, tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Lahad (IPD) Datu pada 14 ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, bertindak atas laporan itu, polis menahan suspek di sebuah rumah di Kampung Sarip pada 18 Ogos pada pukul 10.40 malam.
“Suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang juga anak kedua daripada empat beradik, membuat laporan polis selepas menceritakan perkara itu kepada ibunya.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa mendakwa telah dicabul oleh suspek, seorang lelaki berusia 36 tahun yang merupakan adik kandung ibunya, ketika mereka tinggal di perumahan pekerja Ladang Sebrang, Lahad Datu.
“Mangsa memberitahu perbuatan itu berlaku beberapa kali ketika ibu dan bapanya tiada di rumah. Suspek dipercayai mengugut akan memukul mangsa sekiranya kejadian itu diceritakan kepada orang lain,” katanya.
Menurut Dzulbaharin, mangsa yang kini faham mengenai perbuatan tersebut membuat laporan polis selepas bertemu semula dengan suspek pada Mei lalu semasa menghadiri kenduri di Kampung Silam.
“Selepas laporan dibuat, mangsa telah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk pemeriksaan dan seterusnya ditempatkan di wad bagi rawatan serta kaunseling psikologi,” jelas beliau.
Polis menasihatkan masyarakat agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang kejadian jenayah seksual melibatkan kanak-kanak bagi memastikan perlindungan terhadap mangsa serta tindakan undang-undang dapat diambil ke atas pelaku. – UTUSAN










