PETALING JAYA: K. Letshanaa membuka tirai Kejohanan Dunia 2025 dengan langkah kanan tetapi perjalanan seterusnya dijangka berliku buat pemain muda negara itu.
Pada aksi pusingan pertama di Arena Adidas, Paris, pemain ranking ke-40 dunia itu hampir dikejutkan sebelum menewaskan wakil Hong Kong, Saloni Samirbbai Mehta 21-18, 21-8.
Letshanaa yang berusia 22 tahun mengakui permainan agak goyah pada set pertama selepas melepaskan kelebihan 13-5 sebelum kembali menguasai perlawanan.
Kemenangan itu juga mengekalkan rekod sempurna dengan tiga kemenangan berturut-turut ke atas Saloni.
Namun, laluan Letshanaa selepas ini bakal lebih mencabar apabila dijadual bertemu bekas juara dunia 2019, Pusarla V.S dari India pada pusingan kedua.
Pertemuan getir menentang pemain berpengalaman itu dijangka menjadi ukuran sebenar keupayaan Letshanaa dalam mendepani pentas dunia. – UTUSAN