PETALING JAYA: Krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza disifatkan lebih parah berbanding tragedi kebuluran di Somalia apabila bayi baharu lahir mula terkorban akibat ketiadaan susu formula dan kekurangan makanan asas.
Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan berkata, lebih memilukan apabila wanita mengandung tidak dapat menghasilkan susu badan kerana kekurangan nutrisi selepas bantuan disekat berbulan-bulan.
“Krisis kebuluran ini adalah yang terburuk dalam sejarah dunia. Jika di Somalia, kita pernah melihat badan kanak-kanak tinggal rangka, keadaan di Gaza jauh lebih menyayat hati kerana jumlah mangsa lebih ramai dan bantuan pula langsung disekat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terkini, Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran hampir sejuta wanita serta gadis di Gaza berdepan kebuluran akibat sekatan berpanjangan selain kemusnahan besar akibat perang.
Gaza kini berdepan krisis kemanusiaan terburuk dalam sejarahnya, dengan hampir 61,900 rakyat Palestin di wilayah bergolak itu terbunuh sejak Oktober 2023.
Zulkifli berkata, penduduk Palestin bukan sahaja berdepan kebuluran, malah menjadi mangsa penindasan apabila bantuan makanan dijadikan perangkap oleh tentera Zionis untuk menembak mereka.
“Banyak video tular menunjukkan kanak-kanak mati ditembak selepas memegang makanan. Situasi ini terlalu melampau untuk digambarkan dengan kata-kata,” katanya.
Katanya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa bertindak lebih tegas menghentikan pembunuhan beramai-ramai serta pembersihan etnik di Gaza.
Menurutnya, pasukan tentera pengaman perlu segera dihantar bagi memastikan serangan rejim Zionis dihentikan dan hak rakyat Palestin untuk mendapatkan bekalan makanan terjamin.
“Mereka memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 lori membawa bekalan makanan setiap hari. Hanya dengan tindakan berani masyarakat antarabangsa, nyawa penduduk Gaza dapat diselamatkan,” katanya.-UTUSAN










