YAN: Bagi kebanyakan orang, sawah padi hanya sinonim dengan kerja bertani namun sekumpulan penduduk di Kampung Kepala 10, Ulu Sedaka di sini menjadikan ia lokasi lepak yang berjaya mencuri tumpuan ramai.
Pencetus idea, Hafiz Ahmad, 34, yang juga seorang pereka grafik bersama tiga rakannya turut mewujudkan ruang santai dengan konsep tahun 70-an lengkap dengan kopi dan roti bakar sebagai menu utama.
Lebih istimewa, minuman yang dihidangkan bersama beberapa biskut empat segi itu diberikan secara percuma kepada pengunjung hasil sedekah daripada orang ramai.
Menurut Hafiz, tempat yang dinamakan Kopi Waktu itu hanya dibuka setiap Ahad dari pukul 5 petang sehingga 7.30 malam.
“Mula-mula saya buat untuk suka-suka sahaja, ajak penduduk kampung datang ke lokasi ini berehat dan minum kopi tetapi tidak sangka meraih perhatian orang ramai termasuk dari luar kampung ini.
“Kopi dihidangkan secara percuma kerana ada penduduk dan pengunjung yang mahu derma. Lebih menarik setiap minggu ramai yang datang letak makanan seperti ubi kayu untuk menjamu pengunjung,” katanya ketika ditemui di lokasi itu semalam.
Tambahnya, dia mendapat bantuan daripada rakannya, Anas Idham Abdullah, 34, Iqbal Md Desa, 31, dan Shahir Md Desa, 43, untuk menggerakkan usaha tersebut.
“Saya cuma nak mengembalikan nostalgia 70-an dan 80-an kepada orang ramai terutama dalam kalangan generasi muda. Mereka datang ke sini untuk lepak dan bersembang sambil minum kopi.
“Saya dan kawan memilih untuk memakai pakaian ala 70-an, bawa motosikal lama model Yamaha 80 dan barang antik supaya suasana itu lebih menyerlah,” katanya.
Bagi seorang pengunjung, Amran Sarip, 49, suasana itu mengingatkannya kepada zaman kecil ketika mengikuti arwah datuknya ke sawah. – UTUSAN










