Gelaran ‘kerdil’ sudah sebati dan sinonim dengan kehidupan pelajar baharu Kolej Komuniti Jasin (KKJS), Nursyahirah Najihah Muhamad Rabani, 19, yang melanjutkan pengajian di institusi berkenaan sejak 29 Julai yang lalu.
Bersempena dengan bulan kemerdekaan, di sebalik tubuh yang bersaiz kerdil atau dwarfisme, pelajar yang lebih mesra dikenali sebagai Syahirah menyifatkan Hari Kebangsaan adalah hak semua rakyat Malaysia untuk meraikannya termasuklah golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Setiap orang mempunyai idea yang tersendiri terhadap perspektif kemerdekaan sama ada mempamerkan bendera Jalur Gemilang di atas kereta, tiang rumah malah di mana sahaja bagi memupuk rasa cinta kepada negara.”
“Terpulang dengan cara apa sekali pun, ia terserah kepada cara dan pemikiran masing-masing untuk meraikan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan,” katanya yang kini mengambil jurusan Sijil Teknologi Lojistik (SLK). Tambah Nursyahirah Najihah, walaupun bertubuh kerdil dengan ketinggian 126 sentimeter (sm) tidak menghalang dirinya untuk mempamerkan semangat patriotik terhadap negara.
Katanya lagi, jika dahulu ketika berada di kampung halaman di Subang, dia akan bersama keluarga meraikan sambutan ulang tahun hari kemerdekaan di Dataran Shah Alam untuk melihat perarakan aset terkini pelbagai jabatan dan agensi yang dipamerkan.”
“Sepanjang perarakan pula diselangi dengan teriakan merdeka orang awam yang semakin menaikkan lagi semangat patriotisme dalam diri sendiri untuk menjadi
lebih patriotik,” katanya yang ditemui ketika sesi penyerahan Jalur Gemilang sebagai simbolik sambutan ulang tahun hari kemerdekaan yang ke-68.
Bagi Pengarah Kolej Komuniti Jasin, Mohamad Kelana Juwit semangat patriotisme mestilah diterapkan kepada golongan muda khususnya pelajar di institut pengajian tinggi (IPT).
“Golongan muda seringkali dilabel sebagai generasi yang lemah jati diri kenegaraan, kurang rasa cinta kepada negara dan tidak berjiwa patriotik.”
“Sangkaan ini sangat meleset sama sekali kerana generasi Z atau lebih dikenali sebagai Gen Z bukannya tidak patriotik tetapi anak muda ini mempunyai definisi erti kemerdekaan berdasarkan kepada citarasa mereka yang tersendiri mengikut arus peredaran zaman.”
“Gen Z masa kini semakin kreatif. Banyak cara yang dilakukan untuk menunjukkan rasa cinta terhadap negara seperti menghasilkan video pendek di Tiktok, melukis mural, mencipta aplikasi permainan berbentuk kuiz kemerdekaan dan sebagainya.” ujar beliau.
“Ruang ekspresi yang berbeza dan mempunyai kepelbagaian dalam menerjemahkan rasa cinta kepada negara dilihat bersesuaian dengan perkembangan era digital dan laman sosial yang semakin meluas,” katanya. – UTUSAN