KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat India di negara ini apabila banyak bantuan dan inisiatif disalurkan untuk meningkatkan sosio ekonomi mereka secara menyeluruh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan termasuk inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bernilai RM500 juta bagi 2022 yang kemudian meningkat kepada RM972 juta pada 2025.
Katanya, selain itu bantuan melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
“Jadi kalau mengatakan bahawa bantuan masyarakat India itu hanya khusus kepada MITRA itu tidak benar. RM1 bilion itu adalah keluar dari peruntukan MITRA,” katanya Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Kesavan Subramaniam (PH-Sungai Siput) mengenai fokus kerajaan melalui MITRA atau agensi lain dalam usaha untuk pembangunan sosioekonomi masyarakat India secara menyeluruh.
Anwar berkata Skim Jaminan Kredit Perumahan juga terbuka untuk masyarakat India dengan nilai keseluruhan RM1.2 bilion. – UTUSAN