TAWAU: Kerajaan Negeri Sabah menafikan tidak prihatin insiden melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan Satu, yang meninggal dunia dikatakan akibat jatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Papar.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menegaskan dakwaan tersebut tidak berasas dan tohmahan politik semata-mata.
“Sejak awal kes ini berlaku, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah mendapat taklimat langsung dan laporan perkembangan siasatan daripada pihak berkuasa. Malah, Menteri yang memegang portfolio pendidikan, Datuk Ariffin, adalah antara individu terawal yang menziarahi keluarga Allahyarhamah,” katanya ditemui di sini, hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Tingkatan Enam Pra-Universiti Tawau, yang turut dihadiri Pengetuanya, Dr. Rabe Juhari.
Nizam turut menegaskan, kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan keselamatan pelajar di semua institusi pendidikan di negeri ini terjaga, dan insiden itu menjadi titik penting dalam menilai semula prosedur keselamatan sedia ada.
Beliau turut kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang cuba mengeksploitasi kes itu untuk meraih perhatian atau pengikut di media sosial.
“Saya mengingatkan masyarakat agar tidak menggunakan kes tragis ini sebagai bahan sensasi untuk tujuan meraih tontonan, ‘like’ atau simpati murahan di media sosial. Hormatilah perasaan keluarga mangsa dan biarlah proses siasatan serta keadilan berjalan dengan sewajarnya,” katanya.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh kerajaan negeri terhadap apa jua langkah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memperkukuh keselamatan sekolah, termasuk cadangan mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), terutama di kawasan asrama.
“Saya menyokong penuh cadangan tersebut. Malah, kami mencadangkan agar penempatan anggota polis di sekolah-sekolah tertentu juga dipertimbang bagi membendung jenayah buli secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN










