Kerajaan kerugian RM250 juta akibat sindiket rokok seludup -SPRM

Kerajaan kerugian RM250 juta akibat sindiket rokok seludup -SPRM

Rokok seludup
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket terlibat penyeludupan tembakau, rokok dan cerut dipercayai membuat pengisytiharan palsu dengan meletakkan kod kastam yang tidak tepat atau menukar butiran barang. 

Tindakan sindiket tersebut telah menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai lebih RM250 juta sejak tahun 2020 hingga tahun 2024.

Sumber berkata, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini mengesyaki modus operandi sindiket tersebut dengan membuat pengisytiharan palsu semasa proses import dengan kod kastam yang tidak tepat atau menukar butiran barang. 

Sumber berkata, rokok dan cerut yang dibawa masuk disimpan di gudang persendirian sebelum diagihkan ke pasaran.

“SPRM tidak menolak kemungkinan ada beberapa individu dalam radar yang dipercayai terlibat dalam kegiatan ini. 

“Setakat ini seramai 14 orang individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Menurutnya, tiada sebarang tangkapan baharu manakala sebanyak RM218 juta akaun syarikat dan individu dibekukan dalam kes tersebut. 

Media sebelum ini melaporkan SPRM menggempur beberapa syarikat disyaki terbabit penyeludupan tembakau, rokok dan cerut yang dikesan mengakibatkan negara kerugian cukai sebanyak RM250 juta sejak lima tahun lalu.

Serbuan melalui Op Sikaro diketuai Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM itu dijalankan dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Op Sikaro dibuat hasil daripada maklumat strategik diperoleh daripada Op Sohor yang menahan 10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang disyaki terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air. 

Difahamkan, sebanyak 14 syarikat disiasat SPRM disyaki terbabit sindiket penyeludupan tembakau, rokok serta cerut yang menyebabkan negara kerugian ratusan juta ringgit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×