Kembar tiga tidak seiras daftar program berbeza di Politeknik Nilai

Kembar tiga tidak seiras daftar program berbeza di Politeknik Nilai

KEMBAR tiga tidak seiras (dari kiri) Aqmar Batrisyia Dayana Shahril, Muhammad Irfan Darwisy Shahril dan Muhammad Shahir Shahril semasa mendaftar dalam tiga pengajian berbeza di Politeknik Nilai baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Politeknik Nilai baru-baru ini menerima kehadiran tiga beradik kembar tidak seiras yang mencuri perhatian ketika sesi pendaftaran pelajar baharu sesi 2025/2026.

Kembar tiga berkenaan iaitu Muhammad Shahir Daris Shahril, Muhammad Irfan Darwisy Shahril, dan Aqmar Batrisyia Dayana Shahril tampil unik apabila masing-masing mendaftar dalam program dan jabatan yang berbeza.

Muhammad Shahir Daris memilih untuk menyambung pengajian dalam Diploma Kejuruteraan Mekatronik (DEM) di bawah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), mencerminkan minatnya dalam bidang teknologi automasi dan robotik.

Sementara itu, Muhammad Irfan Darwisy memilih Diploma Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan (DLS) di bawah Jabatan Perdagangan, bagi mencapai cita-citanya untuk menceburi industri perniagaan global.

Satu-satunya anak perempuan dalam kembar tersebut, Aqmar Batrisyia Dayana, menyambung pengajian dalam Diploma Bioteknologi (DBT) di bawah Jabatan Agroteknologi dan Bio-Industri (JAB), didorong oleh minatnya terhadap sains dan kajian makmal.

Ketiga-tiga mereka merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama (1) (SMKPU (1)) merupakan antara 698 pelajar baharu yang mendaftar di Politeknik Nilai bagi kemasukan Sesi I: 2025/2026 dan komited untuk menimba ilmu serta pengalaman baharu dalam bidang masing-masing.

Apa yang lebih membanggakan, abang sulung mereka, Muhammad Shakhawi Danish merupakan alumni Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Johor yang sedang menunggu keputusan Unit Pusat Universiti (UPU) untuk menyambung pengajian dalam ijazah di mana-mana Institut pengajian awam (IPTA), beliau menjadi inspirasi dan pembakar semangat utama kepada adik-adiknya untuk menyambung pengajian dalam bidang kemahiran dan teknikal.

“Politeknik banyak membentuk siapa saya hari ini. Saya yakin adik-adik saya juga akan mendapat manfaat yang sama dan lebih lagi di Politeknik Nilai,” kata Muhammad Shakhawi yang turut hadir menemani adik-adiknya semasa pendaftaran.

Kisah kembar tidak seiras ini bukan sahaja mencerminkan keunikan pelajar baharu tahun ini, malah membuktikan bahawa Politeknik Nilai terus menjadi pilihan utama dalam menyediakan bidang Pendidikan dan Latihan

Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berkualiti, merangkumi pelbagai disiplin ilmu serta melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing.

Sementara itu Politeknik Nilai menerima kemasukan 698 pelajar baharu untuk Sesi I: 2025/2026, menyaksikan peningkatan minat terhadap bidang (TVET). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN