PETALING JAYA: Kelantan The Real Warriors (KTRW) tetap berpuas hati meskipun hanya membawa pulang satu mata selepas seri 0-0 dengan Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, semalam.
Ketua jurulatih Kelantan TRW, E. Elavarasan mengakui corak permainan pasukannya kali ini tidak sebaik perlawanan sebelum ini, namun tetap menekankan kepentingan keputusan tersebut.
“Saya rasa penting kami datang ke sini dan bawa pulang satu mata. Tetapi kalau dibandingkan dengan perlawanan sebelum ini, konsistensi masih kurang. Kami kena berusaha lagi untuk tingkatkan kemampuan pasukan,” katanya.
Elavarasan tidak menafikan Sabah lebih banyak mencipta peluang namun kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan sehingga tamat 90 minit.
Menurutnya, pendekatan lebih berhati-hati terpaksa digunakan bagi mengelak kelemahan di bahagian pertahanan dieksploitasi pasukan lawan.
“Pemain sebenarnya boleh tampil lebih baik. Kadang-kadang bila bermain dalam persekitaran berbeza, ia beri kesan kepada prestasi. Namun saya yakin kami boleh perbaiki lagi.
“Kami risau juga kalau terlalu menyerang, belakang pula bocor. Jadi, mungkin aksi kedua nanti kami boleh tampil lebih agresif,” jelasnya.
Jurulatih berusia 62 tahun itu berkata, secara keseluruhan dia berpuas hati dengan disiplin bertahan yang ditunjukkan anak buahnya sepanjang perlawanan.-UTUSAN