'Kami hantar dia pulang'

‘Kami hantar dia pulang’

Nicolas Jackson dihantar semula oleh Bayern Munich kepada Chelsea selepas pemain itu tiba di Munich, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AUGSBURG: Hasrat Bayern Munich mendapatkan penyerang Chelsea, Nicolas Jackson secara pinjaman semusim berkecai selepas kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menarik diri pada saat akhir.

Jackson yang sudah berada di Munich untuk menandatangani kontrak terpaksa dipanggil pulang selepas rakan sepasukannya, Liam Delap mengalami kecederaan ketika kemenangan 2-0 ke atas Fulham.

“Chelsea maklumkan kepada kami mereka mahu pemain itu kembali selepas persetujuan dicapai semalam,

“Situasi sekarang ialah pemain itu berada di Munich, tetapi kami akan menghantarnya pulang,” kata Pengarah Sukan Bayern, Max Eberl.

Sebelum itu, ejen Jackson menegaskan di media sosial bahawa pemain Senegal itu tidak akan kembali ke Stamford Bridge.

“Kami tidak akan kembali. Kapal terbang tidak pernah berpatah balik: Munich,” tulis ejen berkenaan dengan nada penuh keyakinan.

Bayern sebenarnya sedang mencari tambahan tenaga serangan untuk membantu Harry Kane selepas kehilangan Kingsley Coman, Leroy Sane, Thomas Mueller dan Mathys Tel pada musim panas ini.

Namun dengan jendela perpindahan ditutup Isnin depan, skuad juara Jerman itu kini perlu segera mencari alternatif baharu bagi menguatkan barisan hadapan mereka. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN