KLUANG: Usaha Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyediakan bantuan perubatan serta kaki palsu membolehkan seorang pemuda mendapat sinar baharu dalam kehidupan selepas ditimpa kecelakaan ketika pulang bekerja dua tahun lalu.
Riezman Firdaus Mohd. Azlizan, 24, sebelum itu bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang membuat atap zink namun kaki kirinya terpaksa dipotong separas paha selepas terlibat kemalangan ketika pulang ke rumah kira-kira 10 kilometer dari tempat kerja.
Kejadian berlaku pada pukul 6.30 petang, 29 Mac 2023, selepas motosikal Yamaha Y15 ditunggangnya berlanggar dengan Proton Waja. Kemalangan itu menyebabkannya ‘berehat’ panjang selama 14 bulan sebelum menerima bantuan Skim Bencana Kerja daripada Perkeso.
“Saya mendapat tawaran rawatan daripada Perkeso di Pusat Rehabilasi Perkeso di Melaka pada 19 Mei 2024 dan mula mendapat kaki palsu penghujung Jun tahun sama, dan memerlukan masa kira-kira tiga bulan untuk menyesuaikannya.
“Selama lima bulan saya di pusat itu dan berkat usaha gigih serta bantuan diberikan membolehkan saya keluar dengan kehidupan baharu selepas gelap seketika akibat kemalangan itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Riezman, anak sulung daripada empat beradik memberitahu, sebelum keluar pusat rawatan itu, dia turut ditawarkan menjalani latihan pembuatan Zus Coffee di MITC Melaka, membolehkannya mendapat pekerjaan di outlet cawangan di sini.
Dia mengakui kemalangan itu membuatkannya trauma untuk menunggang motosikal dan hanya menggunakan kereta ke tempat kerja terletak kira-kira 20 kilometer dari rumahnya.
“Peluang mendapat kerja tetap di Zus Coffee bagaikan satu sinar yang tidak akan saya lepaskan kerana ia adalah tawaran diberikan menerusi Skim Pekerjaan di bawah Perkeso serta turut mempunyai caruman tetap setiap bulan.
“Kepada rakan-rakan di luar, sekiranya sudah mempunyai pekerjaan sama ada sendiri atau swasta, mencarumlah dengan Perkeso kerana mempunyai skim-skim caruman berkaitan selain menjamin masa depan sekiranya berlaku sesuatu tidak diingini pada diri kita,” katanya.
Sempena Merdeka 2025, saksikan kisah benar rakyat Malaysia yang bangkit membina semula kehidupan mereka. Dengarkan suara mereka. Hayati semangat juang mereka.
Tonton dan sokong kisah pilihan anda.