PETALING JAYA: Pemain perseorangan muda negara, Justin Hoh terus mencuri tumpuan apabila melangkah ke pentas final sulung Jelajah Dunia BWF selepas menumpaskan pemain India, Tharun Mannepalli di separuh akhir Terbuka Macau 2025, sebentar tadi.
Aksi penuh dramatik selama 81 minit di Dewan Sukan Asia Timur Macau menyaksikan Justin tampil tenang dan kemas untuk menebus kekalahan 19-21, 21-16, 21-16 kepada lawan yang sama di Terbuka Thailand, Mei lalu.
Turun selaku pemain bukan pilihan dan satu-satunya wakil perseorangan lelaki negara, Justin memperagakan permainan bertenaga dan konsisten sepanjang perlawanan.
Ini adalah pencapaian terbaik karier remaja berusia 21 tahun itu sejak menjuarai Terbuka Antarabangsa Saipan di Kepulauan Mariana Utara pada Julai tahun lalu.
Pemain No. 45 dunia itu kini hanya selangkah untuk muncul juara apabila dijadual berentap menentang pilihan kedua dari India, Lakshya Sen atau pilihan kelima dari Indonesia, Alwi Farhan pada aksi final esok.
Untuk rekod, kali terakhir perseorangan lelaki negara mara ke final Jelajah Dunia BWF adalah menerusi Lee Zii Jia yang menjuarai Terbuka Australia pada Jun 2024. – UTUSAN