PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub secara rasmi melepaskan jawatan sebagai Presiden FAM selepas menghantar surat peletakan jawatan baru-baru ini.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Eksekutif FAM telah mengadakan Mesyuarat Khas Kedua Penggal 2025-2029 hari ini di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Timbalan Presiden, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi bagi membincangkan keputusan mengejutkan tersebut.
Dalam perbincangan tersebut, Jawatankuasa Eksekutif meneliti hasrat Joehari sebelum akhirnya akur untuk menerima peletakan jawatan itu sebagai tanda menghormati keputusan peribadi beliau.
Joehari mula bergiat aktif di FAM apabila dipilih sebagai Naib Presiden pada 2017, sebelum dilantik sebagai Presiden FAM pada 15 Februari 2025.
Dalam tempoh perkhidmatannya, beliau dikatakan banyak memberi penekanan terhadap pembangunan bola sepak akar umbi serta memperkukuhkan tadbir urus organisasi.
Jawatankuasa Eksekutif FAM telah bersetuju untuk menamakan Mohd Yusoff sebagai pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta, hari ini berdasarkan apa yang termaktub dalam Statut FAM itu.-UTUSAN