PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mewakili Malaysia di pentas tertinggi Asia apabila disahkan berada dalam ‘Pot 1’ bagi undian rasmi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025/26 yang akan berlangsung Jumaat ini.
Kedudukan elit ini meletakkan skuad Harimau Selatan sebaris dengan nama-nama besar Asia Timur iaitu Vissel Kobe (Jepun), Ulsan HD (Korea Selatan), Shanghai Port FC (China), Buriram United (Thailand) dan Melbourne City FC (Australia).
Pot 2 pula dihuni oleh Sanfrecce Hiroshima dan FC Machida Zelvia (Jepun), Gangwon FC dan FC Seoul (Korea Selatan) serta Shanghai Shenhua FC dan Chengdu Rongcheng FC (China).
Format baharu ACLE menyaksikan JDT akan mengharungi lapan perlawanan iaitu empat di gelanggang keramat, Stadium Sultan Ibrahim dan empat lagi di laman lawan dalam liga 12 pasukan elit Asia Timur.
Kemudian, hanya lapan pasukan teratas akan mara ke pusingan 16 terbaik.
Musim lalu, JDT mencipta sejarah tersendiri apabila menamatkan saingan liga Asia Timur di tangga ketiga dan melangkah ke pusingan 16 terbaik, sebelum tewas kepada gergasi Thailand, Buriram United sekali gus gagal melangkah ke suku akhir.
Dengan reputasi sebagai juara Liga Super 11 musim berturut-turut dan rekod cemerlang di pentas Asia, JDT kini bersedia untuk mengatasi pencapaian musim lalu.
Bagi musim 2025/2026, kejohanan tertinggi kelab di Asia itu dijadual akan bermula pada bulan depan hingga Mei tahun depan.-UTUSAN