KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat palsu atau spekulatif berkenaan kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai kuasa untuk menyiasat dan mendakwa mereka yang terlibat dalam penyebaran fitnah atau maklumat palsu.
“Terdapat kandungan tular yang menuduh segelintir pihak bersekongkol dalam kes ini. Malah, ada individu yang mendakwa arwah dimasukan dalam mesin basuh namun individu berkenaan telah tampil memohon maaf.
“Saya nasihatkan orang ramai supaya jangan terbawa-bawa dan berkongsi maklumat yang tidak pasti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Wilayah Persekutuan 2025 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini, hari ini.
Terdahulu, Zara Qairina, 13, meninggal dunia di hospital pada 17 Julai, sehari selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah.
Mangsa ditemukan dalam keadaan parah kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai, di bawah bangunan asrama sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, buli kini ditarifkan sebagai satu jenayah dalam Kanun Keseksaan yang membolehkan hukuman setimpal kepada pelaku.
“Kita telah membuat satu pindaan akta yang mentakrifkan buli sebagai satu jenayah sama ada secara fizikal, mental atau secara dalam talian.
“Di pihak MCMC, kami sudah memberikan arahan kepada orang ramai supaya meneliti dan berhati-hati terhadap semua maklumat yang diterima. Jangan menjadi hakim kerana kita ada sistem undang-undang yang perlu dipatuhi,” katanya.
Semua pihak diseru agar memberi ruang kepada proses undang-undang supaya berjalan dengan lancar serta mengelakkan penyebaran maklumat palsu. – UTUSAN










