JOHOR BAHRU: Selepas lapan hari menerima rawatan di Hospital Pakar Puteri, murid Tahun Empat, Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, yang menjadi mangsa buli, dibenarkan pulang malam tadi.
Izzul, yang juga pesakit kanser hidung, dimasukkan ke wad pada 12 Ogos selepas dipukul dalam dua insiden berasingan di sekolah agama dan sekolah kebangsaan di Skudai, sehingga mengalami gegaran otak serta gangguan daya ingatan.
Menurut ibunya, Siti Suhana Misdi, 39, anaknya kini lebih ceria dan berselera makan, namun trauma masih membelenggu.
“Dia masih takut ke tandas seorang diri, perlu ditemani sampai ke pintu. Kadang-kadang waktu baring pun rasa seperti dikejar. Itu yang kami risau,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Universiti.
Izzul diberi cuti sakit sehingga 25 Ogos dan dijadual menjalani pemeriksaan susulan di hospital pada tarikh sama. Siti Suhana menegaskan, keselamatan anaknya menjadi keutamaan sebelum dibenarkan kembali ke sekolah. Pihak sekolah, PIBG dan guru dijangka menziarahi rumah mereka untuk berbincang langkah terbaik.
Keluarga turut menzahirkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, serta Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, atas keprihatinan mereka terhadap insiden berkenaan.
Siti Suhana menyeru ibu bapa lain agar berani membuat laporan jika anak menjadi mangsa buli.
“Jangan diam. Anak kita tanggungjawab kita,” katanya. – UTUSAN










