Hasrat bakal guru Muhammad Syahmi Azril Saidijamal menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang disiarkan Utusan Malaysia sebelum ini akhirnya tercapai apabila dia mendaftar di IPG tersebut baru-baru ini . Sebelum ini kisah kesukarannya untuk menyambung pengajian di IPG berkenaan mendapat liputan Utusan Malaysia.
Dengan tercapainya impian tersebut, Muhammad Syahmi sudah bersedia sepenuhnya untuk berkelana menuntut ilmu demi mencapai cita-cita bergelar pendidik serta mahu mengubah nasib keluarga yang hidup miskin.
“Hati saya berdebar, takut pun ada risau bercampur baur dengan perasaan gembira pada hari saya dijadualkan Isnin lalu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pada 26 Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan keluhan pelajar itu yang keluarganya tidak mampu menyediakan wang untuk membiayai yuran pengajian jika dia menyambung pelajaran ke IPG.
Bapanya, Saidijamal Abu Said, 43, hanya seorang penoreh getah dan perlu menanggung dua lagi adik yang masih bersekolah.
Ibunya, Nor Azlinda Ahmad, 38, pula tidak bekerja dan mengidap penyakit kanser payudara tahap empat sejak lebih setahun lalu serta perlukan perhatian yang rapi dan belanja perubatan yang banyak.
Kisah remaja tersebut turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mengarahkan pasukannya untuk berhubung segera dengan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 itu bagi membantunya melanjutkan pelajaran.
Muhammad Syahmi berkata, bapanya menyewa kereta untuk menghantarnya sambil ditemani ibu serta dua adiknya, Muhammad Syafiq Aiman, 13, dan Muhammad Syakir Aidil, 8.
“Seawal pukul 4 pagi kami akan bergerak dari rumah ke IPG itu di Pulau Pinang, walaupun tidak begitu jauh ayah tidak mahir memandu ke kawasan itu jadi perlu bergerak awal sebelum waktu pendaftaran.
“Mak ayah serta adik-adik amat teruja dan gembira untuk menghantar saya dan saya pun tidak sabar merasai suasana kampus yang turut akan menjadi pembakar semangat adik-adik agar berjaya suatu hari nanti,” ujarnya.
Tambahnya, dia juga berasa tenang untuk berjauhan dengan keluarga terutama ibunya yang semakin sihat dan bersemangat sejak kebelakangan ini.
Dia juga berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus membantunya dan keluarga yang memberi dorongan dan nasihat sehingga impiannya tercapai. – UTUSAN