KUALA LUMPUR – Persatuan Kriket Melayu Malaysia masih mengekalkan enam pasukan terbaik untuk beraksi dalam Kejohanan Kriket Antara Negeri bagi merebut Perisai Raja-Raja bermula 12 hingga 17 Ogos ini.
Keenam-enam pasukan ialah Negeri Sembilan, Sabah, Pahang, Selangor, Perlis dan Angkatan Tentera.
Mengulas penyertaan musim 2025, Timbalan Setiausaha Kriket Melayu, Nazmir Sungip berkata, kesungguhan Sarawak dan Kedah yang memohon untuk turut serta tahun ini tidak dapat dipersetujui.
”Kami memahami hasrat Sarawak dan Kedah tetapi buat masa ini penyertaan dihadkan kepada pasukan yang benar-benar kental,” kata Nazmir yang mengetuai majlis kecil pertandingan Kriket Melayu.
Kejohanan yang dianjurkan sejak 1951 itu juga kembali mengendalikan saingan secara temasya yang kali akhir dikendalikan pada 2017.
Dua gelanggang sebagai hos aksi musim 2025 iaitu di Kiara Oval dan SSU Kelab Aman.
Pertandingan menyediakan format 40 over dengan penampilan pengadil dan pencatat serta pengurusan perlawanan yang berkemampuan. – UTUSAN