Hanya 500 penagih dadah terima rawatan secara sukarela

Hanya 500 penagih dadah terima rawatan secara sukarela

RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mendedahkan hanya 500 daripada keseluruhan 5,800 penagih dadah menerima rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) secara sukarela.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, jumlah tersebut masih rendah sekali gus menunjukkan tahap kesedaran masyarakat, terutama mereka yang terjebak dengan gejala penyalahgunaan dadah masih rendah.

“Sehingga kini terdapat seramai lebih 5,800 penagih dadah mendapat rawatan di 28 PUSPEN di seluruh negara. Daripada jumlah itu hanya sekitar 500 penagih dadah datang secara sukarela dan selebihnya adalah melalui tangkapan.

“Kita sangat mengalu-alukan mereka (penagih dadah) datang secara sukarela kepada AADK kerana proses rawatannya akan lebih senang dan tempoh untuk sembuh lebih singkat,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Rusli memberitahu, proses penyembuhan penagih dadah yang menerima rawatan di PUSPEN melalui tangkapan adalah lebih sukar dan mengambil masa berikutan keadaan ketagihan mereka sudah sampai ke tahap kritikal.

Katanya, ada dalam kalangan penagih dadah takut untuk datang kepada AADK secara sukarela kerana menganggap mereka akan ditahan dalam tempoh masa yang lama.

“Semua itu tidak betul kerana jika mereka pulih dengan cepat, dalam tempoh enam bulan pun kita lepaskan mereka. Sangat penting untuk mereka mendapatkan rawatan segera supaya keadaan tidak menjadi lebih parah.

“Selain berada di PUSPEN, seramai 51,000 penagih dadah berada menerima rawatan dalam komuniti dan tinggal bersama keluarga mereka serta bekerja. Namun mereka perlu hadir ke pajabat AADK mengikut jadual dan kita akan buat ujian urin ke atas mereka secara berkala,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, dadah sintetik termasuk pil kuda masih menjadi jenis dadah tertinggi digunakan penagih di Kelantan melibatkan seramai 10,071 pengguna atau 89.3 peratus daripada keseluruhan kes.

“Ia diikuti oleh dadah jenis opiat dengan 766 kes (6.8 peratus), pil psikotropik sebanyak 277 kes (2.5 peratus), ganja sebanyak 41 kes (0.4 paratus) dan lain-lain kategori bahan ketagihan sebanyak 277 kes (6.8 peratus),” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN