PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan pelantikan Datuk Seri Lee Chong Wei dalam barisan ahli majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai satu detik bersejarah yang amat dinanti-nantikan sejak beliau menerajui kementerian itu pada 2022.
Menurut Hannah, kehadiran legenda badminton negara itu bukan sekadar menjadi satu suntikan moral, tetapi diyakini mampu menjadi pemangkin utama kepada usaha pembangunan dan pembaharuan sukan badminton tanah air.
“Tahniah Datuk Seri Lee Chong Wei, inilah momen yang saya nantikan sejak dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.
“Saya percaya beliau mempunyai begitu banyak yang boleh disumbangkan kepada pembangunan badminton di Malaysia. Beliau tidak seharusnya sekadar berada di pinggiran BAM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pelantikan Chong Wei sebagai Ahli Majlis BAM diumumkan oleh Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz secara rasmi hari ini sebagai sebahagian daripada pelan strategik ‘Tangkis 2030’.
Hannah berkata, walaupun sumbangan Chong Wei sebelum ini melalui Majlis Sukan Negara (MSN) dan Program Road to Gold (RTG) amat besar, penglibatan secara terus bekas pemain No. 1 dunia itu bersama BAM pastinya akan memberi satu dimensi baharu.
“Kehadiran beliau membantu kita di MSN dan RTG amat saya hargai tetapi saya optimis apabila bekas atlet memimpin dalam persatuan sukan kebangsaan, ia pasti menyuntik semangat keterujaan, keyakinan dan ketepatan dalam keputusan serta dasar persatuan.
“Terima kasih banyak Lee Chong Wei kerana akhirnya bersetuju! Sekaranglah masanya untuk beliau kembali kepada badminton Malaysia. Kam sia lu!” katanya.-UTUSAN