BUDAPEST: Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, mengakui kecewa dengan prestasinya selepas gagal menempatkan diri dalam kelompok hadapan sesi kelayakan Grand Prix Hungary, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya bersama Ferrari.
Pemandu berusia 40 tahun itu hanya mampu mencatat masa kelayakan ke-12, manakala rakan sepasukannya, Charles Leclerc, mempamerkan prestasi cemerlang apabila meraih petak pertama.
“Ia salah saya setiap masa. Saya tidak berguna, sama sekali tidak berguna,” katanya kepada Sky Sports selepas sesi kelayakan yang menyaksikan dia tersingkir dengan perbezaan hanya 0.015 saat.
Hamilton yang menyertai Ferrari musim ini masih belum menaiki podium dalam perlumbaan utama, biarpun berjaya memenangi perlumbaan pecut di Shanghai pada bulan Mac lalu.
“Pasukan tidak bermasalah. Anda lihat sendiri kereta itu di petak utama. Jadi mungkin kami perlukan pemandu lain,” katanya.
Leclerc pula sudah mencatat lima penamat tiga teratas dalam 13 perlumbaan musim ini, membuktikan konsistensi dan kelebihan berbanding Hamilton yang kini ketinggalan 30 mata di belakang dalam kedudukan keseluruhan.
Bercakap kepada F1 TV kemudian, Hamilton mengulangi rasa tidak puas hati terhadap persembahannya sendiri.
“Saya memandu dengan teruk. Itu sahaja,” katanya ringkas.
Kemarau kemenangan Grand Prix yang dialami Hamilton kini berlanjutan lebih setahun, manakala kegagalannya untuk menaiki podium dalam 15 perlumbaan terakhir merupakan rekod terburuk dalam kerjayanya sejak mula menyertai F1 pada 2007.-AGENSI