Pengakap di negara ini telah melakar pelbagai kejayaan sejak penubuhannya lebih 117 tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, ramai dalam kalangan kapten industri, pemimpin masyarakat dan penggerak syarikat antarabangsa lahir daripada sistem pendidikan tidak formal kepengakapan yang membentuk jati diri, kepimpinan dan semangat khidmat kepada masyarakat.
Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) di bawah teraju Ketua Pengakap Negara, Mej. Jen. Datuk Prof. Dr. Mohd. Zin Bidin, terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan pergerakan ini agar kekal relevan dan progresif dalam mendidik generasi muda.

Sudah lebih satu abad, gerakan Pengakap di Malaysia menjadi wadah penting dalam membentuk sahsiah dan jati diri generasi muda.
Ditubuhkan pada tahun 1908, pergerakan itu bukan sekadar aktiviti luar bilik darjah, tetapi institusi pendidikan tidak formal yang melahirkan pemimpin berwibawa, berdedikasi dan berjiwa rakyat.
Dalam tempoh 117 tahun ini, ribuan anak muda telah melalui proses pembentukan watak yang berasaskan prinsip Pengakap.
PPM terus kekal relevan dalam landskap pembangunan belia negara. Dengan pendekatan yang inklusif, program-program Pengakap kini merangkumi aspek keusahawanan, perubahan iklim, pendidikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kepimpinan global dan kesihatan mental.
Dalam sejarah perkembangan Pengakap di Malaysia, antara tonggak pentingnya ialah Persekutuan Pengakap Negeri Terengganu. Negeri berkenaan menunjukkan komitmen tinggi terhadap pembinaan sahsiah dan kepimpinan belia sejak sekian lama.

Sejak penubuhannya pada tahun 1926, Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu terus melakar kejayaan dalam membentuk generasi muda menjadi pemimpin yang berwibawa, berdisiplin dan bertanggungjawab.
Program-program yang dijalankan sentiasa menepati kehendak semasa dan berteraskan nilai-nilai murni kepengakapan.
Justeru, apabila Negeri Terengganu menganjurkan Forum Kepimpinan Pengakap Muda Antarabangsa (Forum SYL) 2025, ia merupakan satu pencapaian besar dan bukti kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan serta kredibiliti Pengakap Malaysia.
Program yang diadakan di Ar-Riyadah Residence, Kuala Nerus, Terengganu, selama lima hari menghimpunkan lebih 200 pemimpin muda dan pakar daripada tujuh negara iaitu Brunei, Indonesia, Maldives, Sri Lanka, Nepal, India dan Timor-Leste.
Menurut Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Terengganu, Shahrul Azwan Mohamad @ Endut, merangkap Pengerusi Jawatankuasa forum berkenaan,ia bukan sekadar pertemuan serantau, tetapi platform pembangunan kendiri dan kepimpinan belia secara holistik.
“Tujuan forum ini adalah untuk melahirkan pemimpin belia dalam kalangan Pengakap yang berwibawa, berkemahiran tinggi dan berjiwa kesukarelawan. Ia juga merupakan ruang untuk peserta bertukar pandangan, idea dan pengalaman secara global,” ujar beliau.
Forum tersebut menampilkan enam pembentangan utama merangkumi topik-topik penting dan berimpak tinggi seperti keusahawanan belia, kesihatan mental, bidang stronomi, pemuliharaan alam sekitar termasuk kelestarian penyu, kepimpinan belia Malaysia dan kesukarelawan profesional. Aktiviti turut disusun secara seimbang antara sesi forum dalam dewan dan aktiviti luar seperti pembersihan pantai di Pantai Teluk Ketapang, khidmat komuniti di Kampung Gong Baru serta eksplorasi warisan budaya Terengganu.
Menurut Shahrul Azwan lagi, forum berkenaan menjadi pencetus semangat kepada peserta agar terus aktif dan berperanan dalam komuniti masing-masing.
Selain sesi forum dan perbincangan, program turut diserikan dengan aktiviti kebudayaan yang memperkenalkan keunikan tradisi dan warisan negeri Terengganu.
Antara peserta forum, Ritik Magiya dari Nepal berkata dia sangat teruja dapat menyertai program ini.
“Saya mewakili Nepal Scout dan sangat teruja menyertai forum ini. Program sebegini wajar dianjurkan dari semasa ke semasa dan kami berharap pihak Pengakap Malaysia akan terus menjemput kami untuk menyertai acara seperti ini pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Nurul Iffah Karmilah Khoshim, peserta daripada Malaysia, menyifatkan penyertaannya sebagai pengalaman yang sangat berharga.
Kejayaan penganjuran Forum SYL 2025 adalah bukti jelas bahawa Pengakap masih kekal relevan dan terus maju seiring zaman. – UTUSAN










