SEREMBAN: Enforcement Leadership and Management University (ELMU) dan Universitas Pembangunan Nasional “Veteran” Yogyakarta (UPNVY) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh jaringan antarabangsa dalam bidang akademik.
Naib Canselor ELMU, Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed berkata, MoU tersebut menjadi simbol nilai bersama dan aspirasi akademik serumpun serta memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Indonesia.
“Walaupun ELMU diasaskan oleh veteran berpengalaman namun ia masih sebuah universiti baharu. Kami amat berbesar hati menjalin kerjasama dengan institusi ternama seperti UPNVY, ” katanya.
Makan menerusi kerjasama berkenaan, kedua-dua universiti akan melaksanakan penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah, pertukaran pelajar dan pensyarah serta menganjurkan bengkel dan persidangan serantau khususnya dalam bidang sains penyiasatan, sains tanah, pembangunan mampan dan tadbir urus awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Datuk Dr. Kassim berkata, MoU tersebut memperkasakan peranan ELMU sebagai institusi perintis sejajar dengan aspirasi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
“Kerjasama ini melangkaui sempadan dan didasari semangat tanggungjawab dan perpaduan ASEAN. Ia membolehkan ELMU mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan strategik yang komited terhadap perubahan serantau, pendidikan beretika, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan inovasi dalam tadbir urus di Asia Tenggara,” katanya.
Dalam pada itu, Rektor UPNVY, Prof. Dr. Mohamad Irhas Effendi berkata, penandatanganan MoU ini merupakan satu momen bersejarah yang menandakan permulaan hubungan baik antara kedua-dua institusi.
“Kami yakin kolaborasi ini akan memberikan kesan positif khususnya dalam tiga teras pendidikan tinggi iaitu pendidikan, penelitian dan pengabdian kepada masyarakat. Penandatanganan MoU ini tidak hanya di dokumen tetapi akan disusuli dengan pelaksanaan program,” katanya.
MoU tersebut ditandatangani oleh Datuk Dr. Kassim dan Prof. Dr. Mohamad Irhas Effendi di Bangunan Rektorat UPNVY, Yogyakarta. – UTUSAN










