PETALING JAYA: Tonggak Selangor FC, Faisal Halim berjaya menyumbang dua gol untuk membantu Gergasi Merah mencatat kemenangan 3-1 ke atas Malaysia University(MU) pada aksi pertama pusingan 16 Piala FA, sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor FC yang beraksi sebagai pasukan pelawat hanya memerlukan masa empat minit untuk merobek gawang pasukan Liga A1 Semi Pro itu menerusi Faisal Halim.
Alvin Fortes menggandakan kedudukan pada minit ke-24 untuk meletakkan Selangor FC mendahului 2-0.
Faisal Halim atau turut dikenali sebagai Mickey sekali lagi menemui sentuhan penyudah pada minit ke-44 sekali gus memastikan Selangor FC memasuki bilik persalinan dengan kelebihan tiga gol.
Bersambung babak kedua, Selangor terus mencipta peluang namun gagal menghasilkan gol, sebaliknya Malaysia University berjaya mengejutkan skuad pelawat dengan jaringan pada minit ke-84 oleh Aiman Danial.
Kedua-dua pasukan akan bertemu semula di venue sama pada 13 September depan untuk perlawanan kedua pusingan 16 Piala FA bagi memburu slot ke suku akhir.-UTUSAN










