DI tengah arus makanan hipster dan kafe urban yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di negeri ini, masih ada yang menggemari cita rasa tradisional dan Restoran Teruna Ikan Bakar menjadi pilihan.

Di sebuah restoran yang terletak di pinggir bandar raya Alor Setar, juadah warisan seperti gulai kawah daging rias pisang dan sup daging utara terus menjadi pilihan pengunjung yang merindukan rasa kampung halaman.
Restoran Teruna Ikan Bakar yang sudah beroperasi hampir dua dekad lalu, bukan sahaja mengekalkan resepi turun-temurun, malah menjadi destinasi tetap bagi pencinta masakan Kedah yang tulen.

Restoran Teruna Ikan Bakar
Alamat: Simpang Hutan Kampung, Jalan Langgar Alor Setar Kedah
Operasi: 9 pagi hingga 4.30 petang (Selasa – tutup)
Menurut pemilik restoran, Mazura Jaafar, 45, rahsia utama kejayaan restorannya terletak pada penggunaan bahan segar serta teknik memasak tradisional yang memerlukan kesabaran dan ketelitian.
“Suami (Che Mat Karim, 50) yang juga merupakan tukang masak masih gunakan cara lama, masak dalam kawah besar, api perlahan, dan rempah yang ditumis hingga naik bau. Ini bukan sekadar makanan, ini warisan,” katanya ketika ditemui di premisnya baru-baru ini.
Gulai kawah yang menjadi signatur restoran ini dimasak secara terbuka menggunakan kawah besar, sama seperti suasana kenduri di kampung. Antara menu yang menjadi rebutan adalah gulai daging rias pisang.
Setiap hidangan dimasak menggunakan campuran rempah ratus buatan sendiri, dengan santan segar yang memberikan rasa lemak seimbang. Warna pekat kekuningan dan aroma rempah yang menggoda sering kali menarik perhatian pelanggan sebaik sahaja melangkah masuk ke restoran.

Selain gulai, sup utara turut mendapat sambutan hangat. Sup tulang gearbox dan daging lembu tempatan dimasak dengan rempah khas utara, menjadikan rasanya lebih pekat dan beraroma jika dibandingkan dengan sup biasa.
Hidangan ini disajikan bersama sambal kicap pedas manis yang menaikkan lagi selera makan, menjadikan sup utara antara menu yang sering habis lebih awal setiap hari.
Terdapat lebih 50 menu masakan di restoran tersebut dan kebanyakannya adalah masakan tradisional orang Kedah termasuk yang semakin pupus dan sukar diperoleh seperti jeruk maman dan masak lemak siput sedut.
Tidak ketinggalan tujuh jenis lauk ikan bakar termasuk ikan kembung, cencaru, keli, pari dan daging bakar yang dicicah bersama air asam ala Kedah.
Apa yang menarik pemilik restoran ini turut menyediakan makanan sedia dimakan (RTE) yang diproses menggunakan kaedah retort supaya tahan lama ketika dibawa pulang.
Menurut Mazura, terdapat dua jenis menu yang dibungkus siap dan tahan lama iaitu gulai kawah rias pisang dan sup daging utara.
“Pelanggan yang datang sini ada dari jauh, luar negeri. Mereka ingin membawa pulang masakan seperti gulai kawah dan sup utara. Kalau lama tentu akan basi jadi kami buat RTE supaya tahan lama. RTE ini juga sesuai untuk mereka yang ingin melancong, menggembara atau berkhemah,” katanya.
Restoran Teruna Ikan Bakar bukan sekadar tempat makan, tetapi juga usaha berterusan untuk memelihara dan menghidupkan kembali masakan tradisional Kedah yang kian terpinggir.- UTUSAN










