Cadangan tambah pemerhati bukan untuk campur tangan

Cadangan tambah pemerhati bukan untuk campur tangan

ANWAR Ibrahim (enam kiri) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said (lima kiri) serta delegasi ASEAN bergambar pada Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cadangan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk menambah pemerhati antarabangsa bagi memantau pelaksanaan genjatan senjata antara Thailand dan Kemboja bukan bertujuan mencampuri urusan dalaman kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan memperkukuh keberkesanan pasukan Pemerhati Interim ASEAN (IOT) yang kini dilihat kekurangan anggota di lapangan.

“Sebagai contoh, kita ada lapan di Bangkok tetapi hanya dua di Phnom Penh. Jadi kita putuskan perlu ditambah. Jika bilangan terlalu kecil, kita boleh ambil daripada pertahanan atau kedutaan untuk menyokong program ini.

“Tiada sebarang jangkaan luar biasa. Jika dibaca kenyataan itu, ia hanya menyebut supaya kita mulakan dengan kedutaan dahulu. Jadi perkara ini tidak menimbulkan masalah sama sekali,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan ASEAN Law Forum 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini. 

Beliau mengulas kenyataan pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai yang menolak cadangan Anwar dengan menegaskan bahawa konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja adalah isu dua hala dan tidak wajar dicampuri pihak luar.

Phumtham dalam kenyataannya berkata, Anwar telah menghubunginya pada Selasa lalu dan mengemukakan cadangan penambahan pemerhati antarabangsa dengan alasan terdapat banyak tugasan yang tidak dapat dilaksanakan oleh IOT secara bersendirian.

Phumtham berkata, Thailand tetap berpegang kepada pendirian bahawa isu sempadan hanya boleh diselesaikan antara Bangkok dengan Phnom Penh tanpa campur tangan luar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN