Buli bukanlah sekadar usikan atau kenakalan pelajar. Ia adalah tingkah laku agresif yang sengaja dilakukan untuk mengawal, mencederakan atau memalukan orang lain sama ada di sekolah atau universiti. Pelaku sering berasa “berkuasa” apabila melihat mangsa menderita, sedangkan impaknya kepada kemanusiaan dan masa depan mangsa.
Isu ini bukan hanya antara pelaku dan mangsa. Ia melibatkan saksi, guru, pensyarah, ibu bapa, serta seluruh komuniti pendidikan. Pelaku mungkin dibesarkan dalam persekitaran yang normalisasi kekerasan, manakala mangsa menanggung luka psikologi yang boleh kekal bertahun-tahun. Lebih membimbangkan, saksi yang membisu sebenarnya memberi lesen untuk perlakuan ini terus berlaku.
Buli boleh berlaku di pelbagai lokasi iaitu di kelas, asrama, kolej kediaman, padang, kantin, dan dunia maya. Di universiti, ia mungkin hadir dalam bentuk pengasingan sosial, ejekan berterusan, atau ugutan kumpulan. Ruang tanpa pengawasan, baik di sekolah mahu pun institusi pengajian tinggi (IPT) dan menjadi lokasi subur untuk perbuatan ini berulang.
Peningkatan kes buli menunjukkan kita gagal memupuk nilai empati dan kasih sayang sejak kecil. Tekanan akademik, pengaruh media yang mengagungkan kekerasan, dan kelemahan kemahiran mengurus emosi mendorong pelaku mencari mangsa yang lebih lemah. Tanpa empati, rakan sebaya dilihat sebagai objek, bukan manusia setara yang berperasaan.
Mangsa buli mungkin mengalami insomnia, kemurungan, kebimbangan melampau, atau hilang minat belajar. Pelaku pula, jika tidak dibendung, membawa sifat agresif ini ke alam pekerjaan atau rumah tangga. Akibatnya, kitaran ganas ini terus membiak dan memusnahkan hubungan dalam komuniti.
Pencegahan memerlukan pendidikan emosi di sekolah dan universiti, latihan empati dalam keluarga dan komuniti, serta ruang selamat untuk mangsa melapor. Warga kampus dan sekolah perlu memecahkan budaya “diam” dengan membela mangsa dan meraikan tingkah laku positif.
Buli adalah pengkhianatan terhadap kemanusiaan. Generasi yang menghormati perbezaan, menjaga hati, dan menolak kekerasan hanya akan lahir jika kita menanam nilai kasih sayang sejak awal. Kasih sayang inilah “vaksin psikologi” yang akan melindungi sekolah, universiti, dan negara daripada menjadi medan keganasan. – UTUSAN
Prof Madya Dr. Shazli Ezzat Ghazali adalah
Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) & Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, UKM.