Akhir-akhir ini selalu saja aku lihat lelaki itu termenung. Pandangannya kelihatan jauh dan sayu. Di antara tegukan kopi dan suapan nasi berlauk ayam kampung kegemarannya ada resah yang tidak dapat aku kenal pasti puncanya. Selalu juga aku lihat dia termenung sambil memandang jauh ke luar tingkap.
Barangkali ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Umurnya kini mencecah 65 tahun. Sudah lima tahun dia bergelar warga emas. dia telah diberi keistimewaan potongan separuh harga termasuk tambang pengangkutan awam ke mana-mana sahaja tempat dia mendapat keistimewaan. Ada garisan beratur khas untuk warga emas.
Di zoo, muzium atau tempat tarikan pelancongan yang lain, dia mendapat potongan separuh harga sama seperti anak-anak kami yang berumur 12 tahun ke bawah.
Kadang-kadang aku jadi cemburu kerana dia hanya perlu membayar separuh harga untuk kos passport antarabangsa sedangkan aku perlu membayar harga penuh. Namun, akhirnya aku sedar dia layak menerima semua keistimewaan itu kerana usianya yang telah melewati 65 tahun.
Akhir-akhir ini juga aku lihat lelaki itu semakin sensitif. Meskipun selalu juga aku cuba bertanyakan apakah punca aku lihat dia selalu termenung di antara tugas-tugas rutinnya, dia selalu memilih untuk menggelengkan kepala.
“Hanya akhir-akhir ini abang rasa cepat penat, maklumlah saja usia dah menjangkau 65 tahun,” dia selalunya cuba berahsia denganku dan cepat-cepat berlalu pergi.
Aku melihat lelaki itu tidak dimakan usia meskipun hayat biologinya sudah 65 tahun. Masih cergas melakukan tanggungjawab rutin menghantar dan menjemputku saban hari ke tempat kerja dan mengurus anak-anak yang masih bersekolah rendah.
Setiap hari khamis pula rutinnya menjadi bertambah sibuk kerana perlu menjemput anak-anak yang belajar di sekolah menengah berasrama. Antara selang waktu sibuknya itu, dia tidak lupa ke masjid berhampiran setiap waktu solat untuk menunaikannya secara berjemaah.
Mungkin atas komitmen yang ditunjukkannya untuk hadir solat berjemaah lima kali sehari itu, maka dia diberi kepercayaan untuk dilantik sebagai ahli jawatankuasa masjid kampung kami.
Namun di sebalik fizikal yang masih sihat, aku dapat merasakan bagaikan ada kesunyian yang mendalam. Kesunyian itu mungkin berpunca sedikit sebanyak daripada sejarah hidupnya. Dalam meniti titian takdir perkahwinan yang menemui titik penamat setelah hampir lima belas tahun hidup dia tergelincir dan tenggelam dalam arus kecewa.
Katanya, dua tahun yang dilalui menjalani hidup sendiri selepas bercerai dengan bekas isteri sebelum takdir kembali menyatukan kami sebagai suami isteri adalah tempoh paling sunyi dalam hidupnya.
Aku masih ingat saat air mataku bergenang menahan sebak mendengar luahan perasaannya tentang waktu-waktu paling sunyi dalam hidup.
Ketika menjelang senja, di mana tiga anak yang masih bersekolah rendah ketika itu akan riuh rendah dan saling berebut untuk masuk ke bilik air setelah dikerah ayah untuk mandi petang membersihkan diri setelah berpeluh lencun bermain. Katanya itulah detik paling sunyi setiap hari setelah dia hidup bersendirian setelah berpisah. Perasaan kosong akan bertambah menjelang waktu Maghrib.
Pernah dia ceritakan bagaimana dia menangis sendirian sesudah bersolat kerana amat rindukan keletah anak-anak. Aku masih ingat lagi saat itu aku memeluknya erat setelah kami dijabkabulkan seolah-olah ingin mengembalikan semula semua rasa kehilangan yang pernah dia alami. Tajamnya luka akibat perpisahan itu buat dirinya hingga lukanya sukar untuk sembuh meskipun hampir lima tahun berlalu.
Aku seringkali memujuknya dan berjanji akan cuba mengisi ruang kosong itu agar hidupnya kembali ceria namun aku sedar aku tidak akan pernah dapat menggantikan tempat yang telah diisi oleh anak pertama, kedua dan ketiga di dalam hatinya.
Aku tahu yang meskipun dia sering menyatakan kehadiran anak-anak baru seramai lapan orang berjaya membuatkan hidupnya rasa terisi semula, namun aku yakin masih ada ruang kosong yang tertinggal di dalam hatinya.
Meskipun kehadiranku dan anak-anak kami membuatkan rutin hidupnya kembali terisi dan jadualnya kembali padat, namun akhir-akhir ini nampak jelas ruang hatinya mungkin kembali sunyi.
Ada masa aku lihat dia termenung jauh ketika memerhatikan anak-anak kami yang semakin meningkat remaja bermain bola di halaman rumah. Aku tahu jauh di sudut hati dia juga rindukan anak-anaknya dari perkahwinan pertama.
Aku tidak pasti apakah sebabnya anak-anaknya memilih untuk menyepikan diri. Mahu dikatakan suamiku tidak menyempurnakan nafkah, tidak pernah sekali pun dia culas memberinya setiap bulan sesuai seperti apa yang dipersetujui bersama setimpal dengan kemampuan kewangannya sehingga ketiga-tiga anaknya mencapai usia 21 tahun. Ada kalanya aku sendiri yang akan mengingatkannya agar tidak lupa tanggungjawab pada anak-anak setiap bulan.
Ada waktunya aku dahulukan wang gajiku untuk menunaikan permintaan anak-anaknya jika ada keperluan untuk memberikan wang saraan tambahan. Dia begitu mesra dan penyayang dengan anak-anak kami sehingga kadang-kadang terbit rasa cemburu kerana anak-anak yang masih kecil lebih rapat dengan ayah berbanding diriku.
Aku rasa aku telah berusaha sebaik mungkin demi memastikan hubungan anak dengan ayah tidak terlerai meskipun antara ayah dan ibu mereka telah memilih haluan sendiri.
Pada tahun-tahun terawal perkahwinan kami, anak-anak tiriku masih mengunjungi kami. Kadang-kadang mereka menghabiskan beberapa hari dalam cuti sekolah dan kami akan menghabiskan percutian ke destinasi menarik sekitar tempat tinggal kami. Beberapa tahun kemudian, setelah mereka semakin dewasa hubungan itu menjadi renggang tanpa aku ketahui sebabnya. Anak-anaknya tidak lagi mengunjungi kami seperti dulu.
Kedua anak lelaki langsung tidak menghubungi ayah walau sekali pun untuk bertanya khabar. Hanya anak perempuannya yang sesekali menelefon ayah. Seringkali pada anak perempuan itu aku titip pesanan agar dua anak lelakinya menghubungi ayah, cukuplah sekadar untuk bertanya khabar namun usahaku itu bagaikan mencurah air ke daun keladi.
Hari itu tibalah hari lahirnya yang ke-65 tahun. Aku bangun awal untuk menyediakan pulut kuning dan rendang ayam yang menjadi menu kesukaannya dan anak-anak setiap kali meraikan hari lahir.
Rancanganku sepulangnya dari masjid setelah mengikuti kuliah Subuh, kami sekeluarga akan meraikan hari lahirnya secara sederhana dengan menu pulut kuning tanda kesyukuran.
Aku hairan kerana pagi itu dia tidak bangun bersiap ke masjid untuk menunaikan solat Subuh berjemaah seperti biasa. Jam penggeranya akan berbunyi setiap pukul 5.30 pagi. Lima belas minit untuk dia mandi dan bergerak menuju ke masjid yang terletak dua kilometer dari rumah. Namun pagi itu aku tidak dapat mendengar bunyi pancuran air seperti kebiasaannya menandakan dia telah bangun dari tidur dan sedang mandi.
Aku segera meninggalkan masakanku untuk menjenguknya. Dia masih tertidur. Aku sentuh dahinya. Panas! Dia tersedar. Dahinya berkerut seakan menahan sakit. Aku memanggilnya. Aku lihat dia cuba membuka matanya untuk memberi tindak balas terhadap panggilanku namun gagal. Matanya kembali dipejam rapat. Nafas dihelanya dengan payah.
Aku tidak menunggu lama untuk membawanya ke unit kecemasan hospital berdekatan setelah melihat dia dalam keadaan tidak berdaya.
Di sofa ruang menunggu wad kecemasan itu, aku membuka buku nota yang diserahkan oleh doktor. Kata doktor, buku kecil itu ditemui dalam poket baju yang dipakainya ketika aku membawanya dengan tergesa-gesa pagi tadi tanpa sempat menyalin pakaian tidurnya. Aku cukup kenal nota kecil berkulit keras berwarna hijau tua itu.
Buku itu buku catatan yang digunakan untuk merekod tugasannya sewaktu masih bekerja sebagai petugas keselamatan. Tahun 2000 tercatat pada muka depan. Sudah hampir 25 tahun usia buku itu.
Tahun itu merupakan tahun yang mencatatkan detik pilu saat perpisahan dengan bekas isterinya. Aku hanya muncul dalam kisah hidupnya lima tahun kemudian.
Buku itu pernah menjadi peneman setianya sepanjang waktu bekerja. Pergerakan dan tugasan penting akan dicatat untuk diperiksa oleh penyelia. Aku membelek halaman kosong di bahagian belakang berisi catatan peribadi lampau tentang tarikh lahir anak-anaknya.
Air mataku berjatuhan semahunya membaca catatan di bawah tarikh lahir ketiga anak-anak dengan bekas isterinya di dalam buku nota kecil itu. Hatiku terasa luluh. Aku bagaikan dapat sama-sama merasakan peritnya menahan angin rindu yang datang menyapa setiap kali terkenangkan anak-anaknya.
Mungkin rasa inilah yang seringkali membuatkan dia termenung jauh terutamanya hari-hari terakhir menjelang ulangtahun kelahirannya yang ke-65 yang jatuh bertepatan dengan sambutan hari bapa. Tulisannya yang kemas aku baca satu persatu.
Surat Terbuka Seorang Ayah:
Anakku yang pernah aku dodoikan, yang dahulu bertatih memegang jariku
Hari ini kalian berdiri sebagai lelaki dewasa. Bergelar isteri,suami dan juga ayah ibu. Namun satu perkara ini tidak berubah: Kalian tetap anak-anak ayah, sekalipun sudah lama kalian tidak lagi memanggilku begitu.
Ayah tidak pernah meminta banyak, tidak juga menuntut dilayan seperti raja. Hanya ingin tahu bahawa kalian sihat dan tidak melupakan bahawa satu masa dahulu ada tangan ini yang menyuap, ada bahu ini yang kalian tidur di atasnya tanpa rasa takut pada dunia. Ayah tahu hidup ini berliku.
Perpisahan dengan ibu kalian bukan kehendak sesiapa dan kehadiran insan-insan baru dalam hidup ayah bukan bertujuan mengganti kalian tetapi menyambung hidup yang perlu diteruskan.
Sejak kalian menjauh tiada musim yang tidak ayah tunggu kepulangan. Tiada malam raya yang ayah tidak harapkan salam dari jauh. Namun,tahun berganti tahun dan ayah belajar untuk diam. Bukan kerana tidak rindu, tetapi kerana rindu itu sudah terlalu berat untuk ditanggung.
Ayah tidak menyimpan marah, cuma sedikit kesayuan kerana hari-hari penting dalam hidup kalian, ayah hanya tahu dari mulut orang lain sedangkan satu masa dahulu ayah pernah berlari ke sekolah kalian hanya kerana kalian terlupa bawa bekal. Anakku, jika kau membaca ini satu hari nanti, ketahuilah bahawa pintu ayah tak pernah tertutup.
Peluk ini tetap terbuka walau tangan ini telah dimakan usia dan rambut ini memutih menunggu khabar kalian. Bukan untuk menuntut semula apa yang telah hilang cuma ingin kalian tahu ayah masih di sini. Masih hidup.
Masih sayang. Dan masih sudi menyambut kalian bila-bila masa kalian sedia pulang.
Dengan kasih yang tak pernah padam, Salam rindu dari Ayah buat anak-anakku Faris, Amira dan Firdaus.
Dia masih berada di ruang pemerhatian zon merah unit Kecemasan dan Trauma. Kata doktor, dia mengalami jangkitan paru-paru dan diberi bantuan pernafasan serta rawatan antibiotik dan akan di tempatkan di Unit
Rawatan Rapi sehingga keadaannya benar-benar stabil dan dapat dipindahkan ke wad biasa.
Di sisi katilnya aku setia menemani sambil memperdengarkan bacaan Yassin perlahan-lahan. Aku berdoa ketiga anak- anaknya yang telah aku hubungi sebentar tadi dan meminta mereka agar mencari kesempatan berjumpa ayah yang selama ini merindui anak mereka.
Akan aku serahkan buku kecil berkulit hijau ayah mereka sebagai bukti kasih sayang ayah terhadap anaknya tidak akan pernah sirna meskipun lama dipisah jarak dan dihanyut arus masa. – UTUSAN