Makan Suap : Apabila puisi bermadah mahu banteras barah rasuah

Apabila puisi bermadah mahu banteras barah rasuah

Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) bersama Awang Sariyan (dua dari kanan), Radzuan Ibrahim (kanan) dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr. Anwar Ridhwan (dua dari kiri) dan Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari melihat isi kandungan buku Antologi Puisi Makan Suap yang dilancarkan secara rasmi di ibu negara baru-baru ini. – mingguan/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dulu perkataan penyalahgunaan kuasa dan rasuah serta tidak berintegriti menjadi darah daging dalam urusan pentadbiran Ada yang menyebutnya tumbuk rusuk namun hakikatnya perbuatan rasuah boleh menjadi barah dalam masyarakat.

Orang memberi rasuah kerana beberapa sebab antaranya termasuklah ingin melepaskan diri daripada tindakan undang-undang, mendapat ganjaran tertentu dan pelbagai faktor lain seperti membalas budi manakala pihak menerima rasuah kerana ingin ganjaran tertentu, menunjukkan kekuasaan atau sebagai timbal balas.

Perbuatan rasuah ini merosakkan kerana ia boleh menghalang penguat kuasaan dan menggalakkan dan menyemarakkan pemberian sesuatu yang tidak sepatutnya. Maka rasuah jelas menyusahkan dan berbahaya.

Rasuah kini musuh nombor satu negara, menyusahkan urusan pentadbiran walaupun niat pemberi rasuah supaya sesuatu itu dipermudahkan, maka perbuatan ini sewajarnya diperangi.

Setiap lapisan masyarakat perlu berganding bahu memeranginya, dan sekurang-kurangnya sedar rasuah perbuatan jijik tanpa mengira siapa pun kita atau profesion masing-masing.

Daripada pencuci longkang penarik beca hinggalah kepada pemimpin masyarakat dan negara, semua perlu ada peranan sebesar mana sekali pun membasmi perbuatan jijik ini.

Bukan bermakna apabila kita tidak bekerja sebagai penguat kuasa maka kita boleh cuci tangan kononnya bukan urusan kita memerangi rasuah sedangkan ia boleh berlaku di mana mana peringkat pekerjaan atau status sosial. Pendek kata jadikan usaha memerangi rasuah sebagai perjuangan murni menggunakan kapasiti masing-masing.

Itu yang cuba dilakukan oleh Persatuan Pemuisi Malaysia (PEMUISI) apabila mengambil inisiatif membakar obor perjuangan memerangi rasuah dengan cara tersendiri.

PEMUISI sesuai dengan asas perjuangannya mempromosi bidang kesusasteraan genre puisi menggunakan untaian untaian madah bahasa berbunga yang dijalin dalam rangkap puisi menyuarakan kebimbangan sikap segolongan masyarakat yang memberi dan menerima rasuah.

Puisi-puisi karya penyair tempatan termasuklah antaranya Sasterawan Negara (SN) dibukukan dalam satu antologi diberi nama Makan Suap yang secara terang-terangan menyatakan satu luahan rasa penyair tempatan berpadu puisi menjelaskan suara hati masing-masing.

Kata Presiden PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim Buku Antologi Makan Suap merupakan inisiatif kesusasteraan berjiwa perjuangan yang lahir daripada denyut nadi keprihatinan pertubuhan tersebut terhadap rasuah yang semakin meracuni sistem sosial dan pentadbiran.

Buku antologi Puisi Makan Rasuah menghimpunkan puisi karya 136 penyair tempatan yang diterbitkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Antara penyair yang karyanya dimuatkan dalam buku tersebut ialah Sasterawan Negara (SN) Muhammad Haji Salleh berjudul Perasuah selain karya Radzuan berjudul Pejuang atau Petualang manakala Penasihat PEMUISI Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyumbang karya berjudul Munajat di Ambang Kemerdekaan.

Penyair terkenal Abdul Ghafar Ibrahim menyumbangkan karya berjudul Profesion Yang Tak Kan Selesai Selesai) manakala Datuk Dr. Lim Swe Tin (Apungkan Kepada Keraguan- Kepada Pemberi dan Penerima Rasuah).

Garapan puisi yang dimuatkan dalam antologi yang diterbitkan bersama dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) nyata gambaran nyalaan kemarahan terhadap rasuah sebagai aktiviti menjijikkan.

Buku tersebut dilancarkan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dalam satu majlis khas di DBP, baru-baru ini.

Benar seperti kata Seniman Tan Sri P. Ramlee tiada kata secantik bahasa untuk menggambarkan indahnya.

Namun menariknya, lontaran semangat kebencian terhadap rasuah itu dirumuskan menerusi bait bait puisi yang penuh sinikal tetapi berjaya menghantar mesej lantang menolak rasuah.

Buku Makan Suap bertemakan antirasuah dan penyelewengan tetapi kandungannya jalinan bait-bait puisi yang indah dan bermakna menentang rasuah dan penyelewengan,

“Dengan puisi kita akan merasai kelembutan dan keindahan rasa insani dan seterusnya menjadikan kita lebih perasa, lebih peka menghindari perkara negatif termasuk gejala rasuah, serta melahirkan kecintaan kepada bangsa dan negara dan semangat patriotik yang tinggi. Kami PEMUISI menghulurkan salam silaturahim dan bersedia bekerjasama dalam skala kecil atau skala besar di mana-mana jua yang diperlukan,” ujar Radzuan

Ayob Khan berkata, walaupun terdapat segelintir kecil pihak, sama ada di luar atau dalam PDRM sendiri, yang cuba membawa naratif bahawa sukar untuk membanteras isu rasuah dalam pasukan tersebut, tetapi beliau akan tetap teguh dengan prinsip dan komitmen untuk terus menangani budaya yang tercela itu.

“Era beretorik telah berlalu. Masyarakat menilai setiap tindakan, gaya hidup serta kemewahan kita, isteri kita, ahli keluarga kita dan bukannya apa yang kita ucapkan, mahupun retorik-retorik yang diuar-uarkan, ujarnya.

Pedang dihunus pahlawan negara,
Turut berjuang sarjana ternama,
Puisi bermadah tegas bersuara,
Perangi rasuah musuh negara.

Jika dahulu puisi lama seperti pantun, gurindam dan syair memainkan peranan menyampaikan hasrat dan falsafah dalam masyarakat, kini puisi baharu iaitu sajak menjadi wahana penyampaian pemikiran yang berkesan.

“Dalam konteks rasuah, bait-bait kata yang diungkapkan dapat melahirkan rasa keinsafan dan kesedaran dalam jiwa pembaca dan seterusnya menghindari daripada perlakuan buruk itu,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN