TAIPING: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak peduli kecaman terhadapnya kerana adalah lebih penting untuk membantu rakyat dan membasmi rasuah.
Malah, Perdana Menteri hari ini hadir menyempurnakan Karnival Usahawan Tenusu Madani di Pondok Tanjung di sini, dalam Parlimen Larut iaitu kawasan dimenangi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Katanya, beliau hadir untuk memainkan peranan menyokong perusahaan tempatan serta membantu rakyat, meskipun di kawasan pembangkang.
“Kita tahu susah liku-liku kita dahulu, kena terajang, kena hina, masuk penjara, keluar penjara, sudah jadi Perdana Menteri bukan hendak sombong, bukan hendak mentekedarah (mencuri) duit orang. Kena berhenti amalan ini. Sebab itu saya mari sini Pondok Tanjung.
“Sebab itu orang maki hamun saya, cerca saya tak pedulilah. Dia rasa hendak menang dengan cara maki, makilah. Baru-baru ini ada turun Anwar (himpunan). Hari ini saya Anwar turun. Turun ke mana? Turun ke Pondok Tanjung,” katanya semasa berucap di karnival tersebut.
Anwar berkata, beliau tidak mengetepikan kawasan pembangkang dengan memberi contoh pelbagai bentuk bantuan disalurkan termasuk daripada segi kewangan kepada Kedah dan Kelantan yang membawa kesan buat golongan miskin serta para petani.
Katanya, beliau tidak mahu mengulangi sikap bekas pemimpin yang mengaut kekayaan dengan menggunakan jawatan yang dipegang.
“Siapa hendak ambil tahu pasal Pondok Tanjung? Siapa hendak ambil tahu tentang masalah rakyat ini kalau kita sentiasa fikir nak kaut kekayaan.
“Memang saya tahu orang marah. Memang saya tahu orang benci bila saya cakap pasal rasuah tidak habis-habis, tatakelola, rasuah, rasuah tidak habis-habis. Memang dia meluat dengar sebab dia kena,” katanya.
Beliau juga mahu orang Melayu menuju tahap yang lebih baik daripada berbalah dengan pihak lain.
“Melayu ini contohnya apa? Akhlak dia, nilai dia, kesungguhan kerja dia, kepintaran dia, teknologi dia, tunjuk sebagai hebat. Ini yang disebut dalam al-Quran, selalu yang saya selalu ingatkan. Kita hendak tunjuk hebat, kita itu, bukan maki orang, bukan hina orang kaum lain,” katanya. – UTUSAN










