Andrik, Zhi Xuan juara Trofi Sharon Wee 2025

Andrik, Zhi Xuan juara Trofi Sharon Wee 2025

ANDRIK Lim (dua kanan) dan Goh Zhi Xuan (dua kiri) bergambar bersama trofi masing-masing selepas menjuarai Kejohanan Trofi Sharon Wee 2025 di Kompleks MAKSAK, Batu Berendam, Melaka, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain skuasy negara, Andrik Lim merangkul kejuaraan kategori Premier Lelaki pada Kejohanan Trofi Sharon Wee 2025 di Kompleks MAKSAK, Batu Berendam, Melaka, hari ini.

Andrik yang kini melanjutkan pelajaran di Trinity College, Amerika Syarikat menewaskan rakan lamanya dari Sekolah Sukan Bukit Jalil, Veroon Heng dalam aksi final yang berlangsung sengit 3-11, 12-10, 12-10, 11-9.

Andrik berkata, dia gembira dengan kemenangan tersebut yang merupakan gelaran keduanya pada kejohanan itu.

“Lawan saya pula adalah kawan baik saya sendiri, Veron dan tahun lepas saya turut berdepan pencabar sama di final,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir.

Ketika ditanya mengenai penganjuran kejohanan tersebut, Andrik berkata, insiatif pihak penganjur mengadakan kejohanan tersebut yang merupakan program pembangunan skuasy di peringkat remaja adalah satu insiatif yang baik.

Untuk kategori Premier Wanita pula menyaksikan pemain muda Malaysia, Goh Zhi Xuan melakar kejayaan sulung selepas mudah menundukkan adiknya, Goh Jia Xuan 11-3, 11-1, 11-1 dalam perlawanan akhir.

Pemain berusia 20 tahun itu berkata, kejayaan ke atas adiknya sendiri merupakan satu kenangan manis kerana jarang sekali dapat berbuat demikian.

“Saya berharap kejohanan seperti ini dapat diteruskan lagi kerana ia memberi peluang kepada ramai pemain muda untuk mempamerkan bakat mereka,” katanya.

Sementara itu, dalam kategori lain, S. Kavinassh menjuarai Divisyen 2 Lelaki, manakala bagi Divisyen 2 Wanita kemenangan menjadi milik S. Shruuthi dan bekas pemain kebangsaan yang juga Naib Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Sharon Wee memenangi Masters Campuran.

Untuk kategori Bawah 11 Tahun Lelaki serta Perempuan dimenangi oleh Lee Jia Le dan Putri Hannah Adriana Mohamad Hairul, manakala, bagi kategori Novis Lelaki dan Wanita menjadi milik Tay Sheng Feng dan Noor Amani Qalisha Arman.

Dalam pada itu, Sharon yang juga Naib Presiden Persatuan Raket Skuasy Melaka (MSRA) berkata, peningkatan penyertaan pemain muda jelas menunjukkan perkembangan positif skuasy di negeri itu.

“MSRA dengan kerjasama Presiden, Han Yong Chye telah memperkenalkan lima program baharu sejak Disember lalu termasuk tiga kejohanan, kem motivasi dan perlawanan persahabatan.

“Matlamat kami ialah melahirkan lebih ramai bakat baharu di peringkat negeri,” katanya.

Sharon yang juga bekas pemain No. 18 dunia, hari ini, turut menerima Darjah Seri Melaka (DSM) daripada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di atas sumbangan beliau dalam bidang sukan dan pembangunan belia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN