KOTA BHARU: Dua lelaki yang merupakan anak kepada seorang doktor dicekup polis selepas dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran ganja di Kampung But, Ketereh di sini pada Selasa.
Dalam serbuan pukul 4.30 petang itu polis menjumpai 35 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM299,590 selain merampas sepucuk pistol bersama 16 butir peluru.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 46 tahun yang merupakan ibu kepada kedua-dua suspek berkenaan.
Menurutnya, saringan air kencing mendapati kedua-dua lelaki yang merupakan adik beradik tiri positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.
“Siasatan awal mendapati suspek terlibat menjadikan rumah mereka sebagai transit sebelum mengedarkan bahan terlarang kepada pelanggan menggunakan perkhidmatan kurier.
“Suspek dipercayai sudah aktif melakukan kegiatan ini sejak tahun 2023 lalu. Sebelum ini kegiatan itu dilakukan oleh rakannya yang sedang menjalani hukuman di penjara,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, dalam serbuan itu pihaknya turut menyita dua buah kereta mewah, sebuah kenderaan pelbagai guna dan sebuah kereta jenis Perodua Bezza.
Katanya, kesemua dadah ini dipercayai masuk ke Kelantan melalui pangkalan haram yang terdapat di kawasan Sungai Golok.
“Kesemua dadah ini dipercayai untuk pasaran Pantai Barat. Jika terlepas ke pasaran ia boleh digunakan oleh 35,000 orang.
“Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula 6 Ogos lalu untuk sisatan lanjut,” ujarnya.
Mohd. Yusoff berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN