Alcaraz, Djokovic mara ke pusingan keempat Terbuka AS

Alcaraz, Djokovic mara ke pusingan keempat Terbuka AS

NOVAK DJOKOVIC - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Carlos Alcaraz dan Novak Djokovic semakin hampir untuk bertemu di separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) manakala Aryna Sabalenka berjaya membalas dendamnya dengan mara ke pusingan 16 terakhir.

Pilihan kedua dari Sepanyol, Alcaraz dan legenda Serbia, Djokovic kedua-duanya melangkah ke pusingan 16 terakhir dengan kemenangan selesa dan kini hanya dua kemenangan lagi mereka bakal bertembung di separuh akhir.

CARLOS ALCARAZ – AFP

Alcaraz mudah menewaskan pilihan ke-32 dari Itali, Luciano Darderi dengan kemenangan 6-2, 6-4, 6-0 di Stadium Arthur Ashe, semalam manakala Djokovic yang memburu gelaran Grand Slam ke-25 menewaskan pemain Britain, Cam Norrie 6-4, 6-7 (4/7), 6-2, 6-3.

“Setiap kali masuk ke perlawanan, anda mahukan kemenangan mudah tanpa drama tapi itu kadang-kadang tak dapat dielakkan.

“Bagus juga bila saya diuji. Saya masih cuba mencari rentak dan keserasian di gelanggang,” kata Djokovic selepas menjadi pemain tertua mara ke pusingan 16 terakhir Terbuka AS sejak Jimmy Connors pada 1991.

Dalam saingan wanita pula, pemain No.1 dunia dan juara bertahan, Sabalenka membalas dendam kekalahannya pada separuh akhir Terbuka AS 2021 kepada Leylah Fernandez dengan kemenangan straight-set ke atas pilihan ke-31 dari Kanada itu.

Sabalenka ketika itu kecewa selepas tewas kepada Fernandez untuk mara ke final Grand Slam pertamanya, memastikan perkara itu tidak berulang dengan kemenangan 6-3, 7-6 (7/2).

“Saya memang sangat nak balas dendam kali ni. Ia satu pengajaran yang sukar untuk saya ketika itu. Kami tak pernah bertemu semula sejak hari itu.

“Saya cuma nak buktikan kepada diri sendiri yang saya dah belajar daripada pengalaman itu dan saya telah berkembang sebagai pemain dan boleh menang kali ini,” kata Sabalenka.

Sabalenka akan menentang pemain Sepanyol, Cristina Bucsa, dalam pusingan seterusnya. Bucsa mara selepas mencipta kejutan menewaskan pilihan ke-19 dari Belgium, Elise Mertens, 3-6, 7-5, 6-3. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN