Aksi longlai, gemuruh punca tewas- Rankovic

Aksi longlai, gemuruh punca tewas- Rankovic

PERTAHANAN Lion City Sailors cuba menghalang rembatan penyerang JDT, Joao Figueiredo pada aksi Kumpulan B, Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), semalam.-UTUSAN/RAJA JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Aksi longlai yang dipersembahkan pemain Lion City Sailors pada babak pertama menjadi punca kelab itu dihukum Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Kumpulan B, Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee, malam tadi.

Ketua jurulatihnya, Aleksandar Rankovic, 46, akui kecewa dengan kualiti permainan yang ditunjukkan pemain seakan gugup berdepan Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.

Katanya, ini membuka ruang buat pasukan tuan rumah untuk mengawal permainan dengan baik hingga berjaya menjaringkan dua gol awal pada babak pertama.

“Saya agak kecewa dengan persembahan pasukan yang tampak goyah pada separuh masa pertama hingga dibolosi dua gol awal. Bila itu berlaku, kita sedar situasi pasukan berubah menjadi lebih genting.

“Pada separuh masa kedua, kami mula7úttt mendapat rentak dan bermain sebagaimana yang sepatutnya kami bermain. Walaupun tidak banyak mencipta serangan dengan satu atau dua peluang keemasan, malangnya ia tidak disudahkan dengan baik.

“Jika Bart (Ramselaar) dapat menterjemahkan satu peluang keemasan itu, mungkin ia akan mengubah permainan namun ia tidak berlaku,” katanya selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Joao Figueiredo meledak dua gol manakala satu gol lagi dijaringkan Arif Aiman Hanapi bagi menewaskan Lion City 3-1, gol sagu hati kelab Singapura itu hadir pada penghujung perlawanan hasil jaringan Shawal Anuar.

Menyentuh mengenai sepakan penalti diperolehi JDT, pengendali kelahiran Serbia itu berkata, dia tidak meragui keputusan dibuat pengadil perlawanan biar pun tidak nampak dengan jelas insiden kekasaran dilakukan Safuwan Baharudin terhadap Jairo Da Silva.

Rankovic akui ketiadaan beberapa pemain utama seperti Hariss Harun, Bailey Wright, Lennart Thy dan Maxime Lestienne pada perlawanan itu jelas memberi impak kepada persembahan pasukan.

“Saya tidak mahu itu dijadikan sebagai alasan, namun kita dalam lihat jurang perbezaannya. Kita hadir dengan tujuh pemain import manakala JDT mempunyai 15 (termasuk pemain berdarah warisan dan naturalisasi).

“Apa pun, kita perlu bangkit daripada kesalahan ini pada aksi pembukaan liga domestik apabila bertemu Hougang United, Isnin ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN