KUALA LUMPUR: Sebanyak 563 syarikat sedang disiasat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana disyaki terbabit dalam kartel perdagangan dengan tumpuan diberikan kepada kegiatan tipuan bida dalam perolehan awam yang mencecah RM2.66 bilion.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, siasatan itu membuktikan usaha membanteras kartel kekal menjadi keutamaan kerajaan dalam memastikan pasaran lebih telus dan adil.
“Sejak 2012 sehingga kini, MyCC telah mengenakan penalti kewangan berjumlah RM647.9 juta terhadap 265 syarikat kerana membentuk kartel perdagangan.
“Semua keputusan MyCC berhubung kes berkenaan dipaparkan di laman web rasmi MyCC sejajar dengan kehendak Akta Persaingan 2010 (Akta 712),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang meminta penjelasan mengenai petunjuk prestasi utama (KPI) kejayaan dalam menangani kartel perdagangan serta sindiket penyelewengan subsidi, selain cadangan untuk melaporkan hasil siasatan kepada umum secara berkala.
Armizan berkata, kementerian memandang serius isu kartel perdagangan yang dikategorikan sebagai kejahatan tertinggi di bawah undang-undang persaingan.
“Ini kerana ia merupakan bentuk sabotaj ekonomi yang bukan sahaja merugikan negara, malah menjejaskan hak-hak pengguna,” katanya. – UTUSAN










