41 guru SMAN Pahang naik pangkat

41 guru SMAN Pahang naik pangkat

Ahmad Khirrizal Ab. Rahman menyampaikan surat kenaikan pangkat secara khas untuk penyandang kepada Sariah Mohamad Arshad di Pekan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seramai 41 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) daripada Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pahang baru-baru ini menerima Surat Kenaikan Pangkat Secara Khas Untuk Penyandang (KUP) bagi tahun 2025.

Majlis penyerahan diadakan di Dewan Seminar, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Pekan dan disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Pahanfg (JAIP), Datuk Ahmad Khirrizal Ab. Rahman, yang turut menyampaikan sendiri surat kenaikan pangkat kepada penerima.

Majlis tersebut membabitkan kenaikan pangkat daripada gred DG29, DG32, DG34, DG38 dan DG40 ke gred DG42, melibatkan guru-guru yang telah menunjukkan khidmat cemerlang serta dedikasi berterusan dalam perkhidmatan.

Ahmad Khirrizal berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha JAIP untuk terus memperkasakan institusi pendidikan agama di negeri ini, sejajar dengan visi “Hidup Bertakwa” yang menjadi teras pentadbiran jabatan.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Zaidi Ismail, dan Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Siti Zanariahtul Saadah Yatim.

Salah seorang penerima, Sariah Mohd Arshad, 56, yang telah lebih 10 tahun berkhidmat, melahirkan rasa syukur dan terharu atas penghargaan yang diterima menjelang persaraannya tidak lama lagi.

” Alhamdulillah, ini satu rezeki dan pengiktirafan yang amat bermakna buat saya. Terima kasih kepada pihak JAIP dan Kerajaan Negeri Pahang atas keprihatinan ini,” katanya kepada Utusan Pelajar baru- baru ini.

Dalam pada itu, beberapa guru lain turut merakamkan ucapan penghargaan kepada JAIP yang disifatkan amat prihatin terhadap kebajikan warga pendidik SMAN, khususnya dalam memastikan peluang kenaikan pangkat diberi secara adil dan telus.

” Kita sangat menghargai usaha JAIP yang selama ini sentiasa mendengar suara guru.

Kenaikan pangkat ini memberi motivasi besar untuk kami terus berbakti dengan lebih ikhlas dan bersungguh,” kata salah seorang penerima dari SMAN Jerantut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN