KLUANG: Kira-kira 200 penyokong dari Kelab Penyokong Bolasepak JDT Kluang akan menyerbu Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bagi memberi sokongan kepada skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam menghadapi Piala Sumbangsih menentang Selangor, Jumaat ini.
Pengerusi Kelab, Abdul Halim Mohd. Dom berkata, peluang menyaksikan pertembungan antara JDT dan Selangor bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang ‘tertangguh’ sebelum ini tidak akan dilepaskan oleh pihaknya.
Justeru, pihaknya menyediakan sebuah bas persiaran dan beberapa buah van serta kereta untuk membawa semua penyokong ke SSI.
“Kami akan bergerak dari Kluang usai solat Jumaat dan dijangka sampai di SSI sebelum pukul 4 petang.
“Ketibaan awal itu bagi membolehkan semua penyokong membuat persiapan awal sebelum memasuki stadium untuk menyemarakkan pertembungan kedua-dua pasukan yang akan bermula pukul 8 malam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurut Abdul Halim, pihaknya telah membuat persiapan awal dengan mengumpul seberapa ramai ahli kelab agar tidak terlepas peluang hadir ke SSI Jumaat ini.
Beliau yakin JDT mampu mempertahankan piala itu untuk kali ke-10 berturut-turut dan memperoleh jaringan yang besar seperti dilakukan dalam perlawanan liga sebelum ini.
“Selain Piala Sumbangsih, kelab kami juga akan hadir dalam setiap perlawanan penting JDT di SSI, sama ada semasa liga, Piala FA atau Piala Malaysia termasuk perlawanan akhir di Bukit Jalil,” katanya.-UTUSAN