150 unit bot penyelamat komuniti diagih tahun ini

150 unit bot penyelamat komuniti diagih tahun ini

AIMAN Athirah Sabu dan Nor Hisham melihat peralatan penyelamatan yang dipamerkan pada Program Kempen Keselamatan Aktiviti Di Air sempena Sambutan Hari Pencegahan Lemas Sedunia di Bandar Sri Sendayan, Seremban. - UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 150 unit bot penyelamat komuniti akan diagihkan ke lokasi-lokasi berisiko banjir di seluruh negara dan dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, bot-bot penyelamat yang diperoleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu akan diserahkan kepada organisasi berkeupayaan mengendalikan operasi penyelamatan di peringkat komuniti.

Ia termasuklah pasukan bomba komuniti dan sukarela, Kumpulan Rukun Tetangga (KRT), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKK).

“Sejumlah 150 unit bot komuniti itu diperoleh dalam Rancangan Boleh Pinda Ke-3 (RP3) 2023 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bernilai RM1.8 juta dan diagihkan kepada komuniti di kawasan-kawasan berisiko banjir.

“Bot ini telah diperoleh sepenuhnya dan akan diaturkan penyerahannya kepada komuniti sasaran. JBPM pun telah mengenal pasti penerima-penerima 150 unit ini. Kami harapkan dengan adanya bot ini dapat membantu usaha penyelamatan sama ada kawasan-kawasan banjir atau kawasan yang mungkin ada kelemasan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kempen Keselamatan Aktiviti Di Air sempena Sambutan Hari Pencegahan Lemas Sedunia di Bandar Sri Sendayan di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad.

Aiman Athirah dalam pada itu berkata, pihak kementerian sentiasa cakna terhadap keselamatan aktiviti di air dan pihaknya mengalu-alukan lebih banyak pihak menyumbang melalui program tanggungjawab sosial korporat untuk melaksanakan kempen kesedaran secara lebih meluas.

“Ini bukan diadakan secara berkala tetapi sepanjang masa, khususnya melibatkan anak-anak kita. Jadi salah satu isi intipati dalam kokurikulum pelajar,” ujarnya.

Menurutnya lagi, antara inisiatif utama JBPM ialah melatih 50,000 pelajar sekolah dalam tempoh lima tahun yang merangkumi aspek keselamatan, pertolongan cemas dan kecekapan asas di air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN