‘Jangan takut untuk bersuara jika dibuli’ - Utusan Malaysia

‘Jangan takut untuk bersuara jika dibuli’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kebelakangan ini, isu buli semakin mendapat kesedaran dalam kalangan masyarakat apatah lagi gejala itu kini mampu mendorong kepada unsur jenayah sekali gus menjadi punca kehilangan nyawa.

Sentiasa cakna dengan isu tersebut, Nadia Brian atau Nadia Najwa Mohamed Rashidi mengakui lega melihat orang ramai sudah semakin berani menyuarakan dan mempertahankan mangsa.

“Seperti semua tahu saya sentiasa lantang menyuarakan pendapat mengenai isu buli. Malah, saya sendiri tidak pernah menyokong pembuli.

“Apa yang berlaku kepada arwah Zara Qairina itu benar-benar membuka mata ramai pihak. Kes itu juga sangat menyentuh hati ramai rakyat Malaysia.

“Tetapi, saya kagum apabila sudah ramai yang berani menyuarakan isu ini. Saya berharap pembuli dapat disabitkan kesalahan dan bertanggungjawab atas jenayah yang telah dilakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, pelakon berusia 34 tahun itu bersetuju bahawa isu buli ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur mahupun jantina secara fizikal atau siber.

Nadia bagaimanapun menyeru kepada orang ramai supaya lebih berani untuk mempertahankan diri atau membela kenalan yang menjadi mangsa buli.

“Saya juga berharap setiap mangsa yang dibuli berani untuk mempertahankan diri melawan pembuli. Jangan takut untuk bersuara jika dibuli. Setiap individu baik kawan mahupun keluarga harus memainkan peranan penting jika kenalan rapat dibuli.

“Namun, saya yakin mungkin ada beberapa faktor yang menjadi punca berlakunya buli ini. Mungkin perkara itu berlaku kerana mereka cuba meniru apa yang ditonton di kaca televisyen.

“Tetapi, saya percaya setiap karya yang dipertontonkan kepada umum mempunyai mesej atau pengajaran tersendiri yang mahu disampaikan kepada penonton,” jelasnya.

Fasa Menjinakkan Diri Dalam Perniagaan
Selepas 10 tahun membina kerjaya sebagai seorang pelakon, Nadia kini mula mencabar kemampuan dirinya menceburi bidang perniagaan.

Muncul dengan produk kosmetik penjagaan bibir, aktres drama Sekam Di Dada itu mengakui dirinya tidak perlukan gimik murahan untuk melariskan perniagaan yang diusahakan.

“Saya yakin setiap usahawan mempunyai cara tersendiri untuk melariskan produk yang dijual. Saya juga menghormati setiap perniagaan yang diusahakan oleh seseorang.

“Mungkin itu adalah idea orang yang berniaga. Gimik itu mungkin boleh jadi bagus atau tidak bagus impaknya dalam bidang tersebut.

“Bagaimanapun, untuk saya sendiri saya tidak mahu melazimkan sebarang gimik untuk melariskan produk yang saya keluarkan. Saya juga mempunyai cara saya tersendiri yang kalau boleh perkara itu sentiasa ada kaitan dengan jiwa saya,” kongsinya.

Sedar dunia kosmetik mudah terdedah dengan produk tiruan malah perlu bersaing dengan jenama tempatan yang lain, Nadia bagaimanapun tidak melatah sebaliknya sedia berdepan dengan cabaran dalam dunia perniagaan.

“Itu adalah adat rasam dalam perniagaan, apa saja kita buat mungkin bila produk itu bagus, orang akan meniru. Namun, saya harus bersedia jika berdepan dengan situasi tersebut kerana saya percaya setiap produk yang dikeluarkan mempunyai mutunya tersendiri.

“Sebab itu juga pentingnya untuk mendapatkan produk yang original kerana kesan sampingannya juga berbeza. Selain itu, saya juga melihat persaingan dalam dunia kosmetik ini sangat bagus.

“Saya harap lebih ramai lagi peniaga-peniaga tempatan Malaysia berani untuk ceburi bidang ini kerana siapa lagi mahu sokong atau memeriahkan industri bisnes kalau bukan kita,” ujarnya.

Sebelum ini, Nadia melancarkan produk kosmetik penjagaan bibir iaitu Hydra Gloss Lavvanya x Nadia Brian.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN