SINGAPURA: Florian Wellbrock dari Jerman menjuarai acara renang terbuka 10 kilometer (km) lelaki di Kejohanan Akuatik Dunia kelmarin, selepas perlumbaan ditunda beberapa jam akibat kualiti air yang membimbangkan.
Juara Olimpik Tokyo itu mencatat masa 1 jam 59 minit 55.50 saat (s) di perairan Sentosa, meraih gelaran dunia ketiganya dalam disiplin itu sambil menewaskan Gregorio Paltrinieri dari Itali dan Kyle Lee dari Australia.
“Ia sangat mencabar hari ini, mungkin air paling panas yang kami pernah renangi dalam pertandingan rasmi.
“Saya ambil masa setahun untuk bersedia, kami lakukan banyak latihan dalam keadaan panas dan saya rasa itulah rahsia kejayaan saya hari ini,” kata Wellbrock.
Paltrinieri meraih perak dengan beza 3.70s manakala Lee memastikan gangsa menjadi milik Australia, ketika semua pelumba terpaksa menyesuaikan diri dengan kelewatan dan faktor cuaca tropika.
Bagi saingan acara wanita yang sepatutnya berlangsung pada Selasa turut ditunda ke Rabu, tetapi Australia kembali mencuri tumpuan apabila Moesha Johnson memenangi emas dengan masa 2:07:51.30s.
“Saya sangat gembira kerana segala pengorbanan saya akhirnya berbaloi. Suhu air tinggi dan kami terpaksa menunggu hingga saat akhir untuk pengesahan keselamatan. Namun, saya kekal fokus dan percaya pada kemampuan sendiri,” kata Johnson.
Ginevra Taddeucci dari Itali sekali lagi berada di podium dengan perak, manakala Lisa Pou dari Monaco menghadirkan kejutan apabila membawa pulang gangsa, setelah hanya menamatkan saingan di tempat ke-18 di Paris. – AGENSI