TANGKAK: Kereta dinaiki warga emas yang terjatuh ke Sungai Muar di Jambatan Panchor, Jalan Panchor-Gersik, di sini semalam didapati masih lagi hidup dan tidak berkunci ketika pemeriksaan pihak berkuasa.
Namun sehingga kini mangsa, Mesuan Sadiken, 62, masih lagi belum ditemukan.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pukul 8.54 pagi daripada anak mangsa memaklumkan bahawa mangsa disyaki terjatuh ke dalam Sungai Muar dari atas jambatan berkenaan.
“Mangsa dilaporkan keluar seorang diri pada pukul 6 pagi dari Kampung Parit Tunggul, Kundang Ulu, Gersik, dengan memakai baju kemeja kotak lengan pendek dan kain pelekat warna biru serta menaiki kereta Mazda CX5 warna kelabu.
“Pada pukul 7.50 pagi, anak mangsa telah mendapat panggilan telefon daripada kakaknya memberitahu dia telah menghubungi telefon bimbit mangsa dan telah dijawab oleh orang awam yang memaklumkan telah terjumpa kereta mangsa di atas jambatan itu.
“Anak mangsa mensyaki mangsa telah terjatuh ke dalam Sungai Muar. Pihak polis, bomba dan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dibantu penduduk setempat memulakan operasi dan sehingga kini mangsa masih belum dijumpai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan jika ada mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak menerusi talian 06-9785222. – UTUSAN