Van sekolah terbalik: Enam murid masih dirawat di HSA

Van sekolah terbalik: Enam murid masih dirawat di HSA

AZNAN melawat mangsa van sekolah terbalik yang sedang menerima rawatan susulan di HSA Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Enam daripada 10 murid yang cedera dalam nahas van sekolah terbalik di Jalan Abdul Samad di sini, masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, empat mangsa yang lain dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada petang semalam.

Katanya, kesemua 10 mangsa terbabit merupakan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal.

“Enam murid yang masih berada di HSA itu sedang menerima rawatan susulan, kesemua mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan berada di bawah pemantauan rapi pihak perubatan.

“Sementara itu, enam mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd Khalid dan SMK Aminuddin Baki selamat dan tidak serius,” katanya.

Semalam, akhbar melaporkan sebuah van sekolah terbalik setelah melanggar lubang utiliti, mengakibatkan 16 mangsa cedera termasuk seorang murid patah tangan, dua murid patah jari manakala tujuh lagi cedera ringan.

Kesemua mangsa yang menerima rawatan susulan di HSA itu berumur 10 hingga 12 tahun.

Aznan berkata, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca kejadian dan sebarang unsur kecuaian atau kegagalan teknikal.

“Saya juga telah berhubung terus dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh bagi membincangkan langkah-langkah susulan dan penyelesaian terbaik berkaitan insiden ini.

“Keutamaan kini adalah memastikan kesemua pelajar yang terlibat menerima rawatan dan pemantauan sebaik mungkin agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN