Uriarte semakin hampir rampas takhta Hakim Danish

Uriarte semakin hampir rampas takhta Hakim Danish

Hakim Danish perlu bangkit dan pamer prestasi lebih konsisten menjelang perlumbaan 2 pada pusingan kelima Piala RedBull MotoGP Rookies di Litar Sachsenring, Jerman, malam ini. - Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli sekadar melengkapkan aksinya di kedudukan ke-10 dalam perlumbaan 1 yang berlangsung dalam hujan pada pusingan kelima Piala RedBull MotoGP Rookies di Litar Sachsenring, Jerman, malam tadi.

Hakim Danish mencatat masa 29 minit 02.019 saat (s) dan menokok enam mata yang sekali gus membolehkannya mengumpul 154 mata keseluruhan serta kekal di kedudukan pendahulu.

Bagaimanapun, pelumba berusia 17 tahun itu perlu bangkit dan segera memperbaiki keputusan tersebut menjelang perlumbaan 2, malam ini, selepas pencabar terdekat Brian Uriarte dari Sepanyol mengekori rapat di tangga kedua dengan 141 mata.

Hanya dipisahkan 13 mata di hadapan Uriarte, Hakim Danish tidak lagi boleh melakukan sebarang kesilapan yang memungkinkan kedudukannya di tangga teratas dirampas oleh seterunya itu pada bila-bila masa sahaja.

Uriarte mengekalkan prestasi konsisten apabila menjuarai perlumbaan 1 tersebut dengan lakaran masa terpantas 28:38.898s, manakala, pelumba Indonesia, Kiandra Ramadhipa di kedudukan kedua (28:39.080s) dan Guillem Planques dari Perancis di tempat ketiga (28:39.610s).

Hakim Danish berkata, dia tetap bersyukur dengan pencapaiannya dalam perlumbaan 1 selepas melengkapkan saingan di kedudukan ke-10.

“Saya berlumba dengan keadaan trek di dalam hujan, ada kebanyakan tempat yang basah dan ada juga kering yang sekali gus menjadikan perlumbaan itu sangat mencabar.

“Saya berasa tidak sedap hati dengan keadaan tayar jentera yang terjejas agak teruk. Tetapi banyak yang saya belajar daripada perlumbaan ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh SIC Racing, hari ini.

Anak jati Terengganu itu berjanji untuk memperbaiki persembahannya dalam perlumbaan 2 yang berlangsung malam ini (pukul 9.30 malam).

Selepas perlumbaan di Sachsenring, hanya berbaki dua pusingan yang perlu disempurnakan Hakim Danish dan prestasi konsisten amat diperlukan pelumba muda itu bagi memastikan sasaran kelompok tiga terbaik dapat dicapai.

Dua pusingan tersebut dijangka berlangsung di Spielberg, Austria pada 16-17 Ogos dan di Misano, Itali pada 13-14 September ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN