Tunas Fun Camp Pandu Puteri bentuk sahsiah

Tunas Fun Camp Pandu Puteri bentuk sahsiah, jati diri, kesedaran alam sekitar

PESEERTA menunjukkan semangat bekerjasama menjalankan aktiviti Eksplorasi Alam Rimba.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seramai 510 ahli Pandu Puteri Tunas dari seluruh negeri Pahang menyertai Perkhemahan Pandu Puteri Tunas Peringkat Negeri Pahang 2025 yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Pusat Kokurikulum Daerah Jerantut, baru-baru ini.

Perkhemahan yang dikenali sebagai Tunas Fun Camp itu berjaya menghimpunkan peserta cilik daripada pelbagai latar belakang dan daerah, dengan pengisian aktiviti pendidikan luar yang menyasarkan pembentukan sahsiah, jati diri dan kesedaran alam sekitar sejak awal usia persekolahan.

Majlis penutup disempurnakan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang. Baginda turut menyampaikan hadiah dan amanat diraja kepada para peserta.

TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyantuni peserta perkhemahan.

Dalam titah baginda, program sedemikian adalah ruang terbaik untuk menyemai nilai murni dan melatih kepimpinan dalam kalangan anak-anak perempuan menerusi pendekatan praktikal dan bimbingan berstruktur.

“Anak-anak ini didedahkan kepada aktiviti luar bilik darjah yang membentuk jati diri, nilai kerjasama dan semangat cintakan alam sekitar — asas penting membina generasi wanita berjiwa besar dan berdaya saing,” titah baginda.

Tema SDG 15: Life on Land (Hidupan di Darat) dipilih sebagai tema rasmi perkhemahan tahun ini, bertepatan dengan usaha meningkatkan kesedaran peserta terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar secara berterusan.

Antara aktiviti kreatif yang menarik perhatian ialah Soft Toy Challenge, Seni Hutan, dan Malam Bakat bertemakan ‘Jungle Girl’, yang berjaya menyerlahkan kreativiti serta kefahaman peserta terhadap isu kelestarian hutan dan biodiversiti.

PESERTA menunjukkan bakat tarian sewang dalam acara Malam Bakat.

Selain itu, pelbagai aktiviti sokongan turut dijalankan seperti Brownies Fun Camp, demonstrasi mendirikan khemah, sesi Jurubantu Mula, pertandingan Button Craft, Patrol Cooking, dan aktiviti membuat gajet kem — semua berasaskan pembelajaran secara praktikal dan menyeronokkan.

Guru dari SK Menson, Cameron Highlands, Qurratul Aini Abdullah, 24, berkata, peserta dari sekolahnya sangat teruja kerana ini merupakan pengalaman pertama mereka bermalam jauh dari keluarga dalam suasana perkhemahan formal.

“Mereka belajar erti berdikari, bertolak ansur dan bergaul dengan rakan dari daerah lain. Ini pengalaman yang sangat berharga dan memberi kesan mendalam kepada perkembangan sahsiah,” katanya.

NUR AIN AFIQAH

Nur Ain Rafiqah Ahmad, 28, dari SK Convent, Cameron Highlands pula memuji pendekatan penganjur yang menitikberatkan nilai alam sekitar dan kepimpinan seimbang dengan pembelajaran berasaskan aktiviti fizikal.

“Gabungan aktiviti yang menghiburkan dengan penerapan nilai murni menjadikan program ini benar-benar membina dan tidak terhad kepada hiburan semata-mata,” katanya.

Norazian Daldiri, 48, Guru Besar SK Mohd Jabar, Raub turut menyifatkan perkhemahan ini sebagai ruang latihan lapangan terbaik untuk membentuk kemahira kepimpinan murid perempuan secara langsung.

“Saya lihat sendiri pelajar kami tampil lebih yakin, berani bersuara dan menyertai perbahasan serta aktiviti kumpulan secara aktif. Impaknya sangat ketara dan wajar diteruskan saban tahun,” ujarnya.

 

Peserta menjalankan aktiviti catan atas batu.Murid Tahun Enam dari SK Temin, Jerantut, Nur Afini Afrieyanna Zaini, 12, menyifatkan pengalaman menyertai Malam Bakat dan mempelajari amalan penjagaan alam sekitar sebagai momen yang tidak akan dilupakan.

Sementara itu, Nur Umairah Syahmina Ahmad Hilmi, 11, dari SK Paya Pulai, Temerloh berkata, pengalaman memasang khemah sendiri dan memasak bersama kumpulan memberi keyakinan diri dan kemahiran baharu yang menyeronokkan.

Viona A/P Johnpeter, 12, dari SK Clifford, Kuala Lipis pula menyifatkan penyertaan kali ini sebagai pengalaman paling istimewa sepanjang bergelar pelajar sekolah rendah.

PEMENANG menunjukkan hasil Kolaj Seni Hutan sebagai sebahagian acara program.

 

 

“Saya dapat kawan baru dari daerah lain, belajar budaya mereka dan rasa lebih berani bercakap dalam kumpulan. Ini kenangan paling manis,” katanya. Baginda Tengku Ampuan Pahang turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Pandu Puteri Daerah Jerantut selaku tuan rumah serta agensi-agensi kerajaan yang memberi kerjasama penuh dalam memastikan kejayaan penganjuran perkhemahan tersebut. cintakan alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN