Tindakan undang-undang individu salah guna nama Saifuddin Nasution

Tindakan undang-undang individu salah guna nama Saifuddin Nasution

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan namanya untuk tujuan penipuan yang melibatkan orang awam.

Pejabat Menteri Dalam Negeri (MDN) berkata, beberapa akaun palsu dikesan di TikTok yang menyalahgunakan nama dan gambar Saifuddin untuk menipu orang awam.

Katanya, akaun-akaun palsu yang dikesan ini mendakwa kononnya Saifuddin ingin menyalurkan bantuan kewangan melalui pautan WhatsApp yang diletakkan di ruangan bio yang sebenarnya satu penipuan bertujuan memperdaya orang ramai untuk membuat bayaran pendahuluan.

“Pihak kami telah mengesan beberapa akaun palsu dan telah pun membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak TikTok. Setakat ini, tiga akaun telah disekat oleh pihak Tiktok seperti Saifuddin_Nasution0, Saifuddin_Nasution1 dan Saifuddin_Nasution12.

“Namun begitu, kami tidak menolak kemungkinan lebih banyak akaun palsu akan terus diwujudkan.

“Kami juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam penipuan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Menteri Dalam Negeri tidak sesekali meminta bayaran bagi sebarang bentuk bantuan.

“Oleh itu, kami menyeru agar orang ramai sentiasa berhati-hati, tidak mudah percaya dan sentiasa semak kesahihan maklumat sebelum bertindak.

“Jangan membuat sebarang bayaran kepada mana-mana individu atau akaun media sosial yang mendakwa mewakili Datuk Seri Saifuddin Nasution,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN