Tidak mustahil Harimau Malaya di ranking 100 terbaik dunia

Tidak mustahil Harimau Malaya di ranking 100 terbaik dunia

HAMIDIN MOHD AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dijangka mampu berada di kelompok 100 pasukan terbaik dunia dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi jika revolusi skuad kebangsaan terus positif dan berada di landasan tepat.

Presiden kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin berkata, untuk berada di tahap itu, semua pihak perlu memainkan peranan menyokong proses revolusi skuad kebangsaan.

“Jadi kita harap yang pentingnya kita sebagai rakyat Malaysia akan terus menyokong pasukan kebangsaan supaya pasukan negara kita ini terus berjaya dan sudah tentu kita sebagai rakyat Malaysia mengimpikan yang lebih baik daripada sekarang.

“Jadi sama-samalah kita harapkan perkembangan ini akan lebih meningkat lagi dan pasukan kebangsaan akan lebih berjaya lagi di masa depan. Saya kira setelah sekian lama, kedudukan ke-125 ini adalah peningkatan yang baik.

“Ini yang saya katakan kita perlu bergerak bersama untuk pastikan ranking dan persembahan pasukan kebangsaan ini akan terus meningkat di masa akan datang.

“Saya pernah katakan dulu bila saya ambil kedudukan ke-178 dan hampir dalam lima hingga enam tahun kita naik ke-131 dan paling tinggi ke-130 sebelum Piala Asia di Qatar.

“Jadi, sekarang 130 dan kita naik ke-125. Peningkatan ini perlu ada dan usaha berterusan kena diteruskan. Dengan revolusi baru yang dibuat oleh Tunku Mahkota Johor, saya rasa kita akan terus dapat meningkat.

“Maksudnya, pada masa akan datang pun kita kena terus berubah dan kita kena mesti terus mencari formula yang lebih baik untuk kita terus meningkat. Kalau tidak kita akan jatuh,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Bagaimanapun, Hamidin berharap Harimau Malaya berwaspada dengan kebangkitan negara lain yang turut mengambil inisiatif untuk memperkuatkan pasukan masing-masing pada masa akan datang.

“Kalau kata semua pihak bagi kerjasama dan tidak mustahil dua atau tiga tahun lagi kita akan boleh berada disitu (ranking 100 terbaik). Tapi macam saya katakan, bukan Malaysia sahaya berusaha, negara lain pun berusaha. Itu kita kena faham.

“Peminat semua kena faham, negara lain pun berusaha untuk meningkatkan pasukan kebangsaan dia, kita pun berusaha dan perancangan itu perlu untuk terus di masa akan datang,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN