PETALING JAYA: Majlis Peguam mengingatkan terdapat kekosongan jawatan penting dalam badan kehakiman perlu diisi segera bagi menjamin kelangsungan dan kelancaran pentadbiran keadilan negara meskipun terdapat pelantikan baharu tiga jawatan hakim mahkamah atasan.
Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, walaupun pihaknya mengalu-alukan pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, namun masih terdapat kekosongan hakim Mahkamah Persekutuan, Rayuan dan Tinggi.
“Walaupun pelantikan ini amat dialu-alukan selepas berbulan-bulan ketidaktentuan, penantian dan spekulasi yang tidak perlu, masih terdapat banyak kekosongan jawatan penting sama ada yang sedang berlaku mahupun bakal berlaku di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.
“Majlis Peguam berharap semua kekosongan ini dapat diisi dengan segera dan secara telus demi memperkukuh keyakinan awam terhadap institusi kehakiman serta meningkatkan kecekapan pentadbiran keadilan di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Ezri berkata, pihaknya menaruh keyakinan bahawa individu yang dilantik mampu menerajui badan kehakiman dengan penuh kewibawaan, keberanian serta komitmen tidak berbelah bahagi terhadap prinsip keadilan.
“Rekod menunjukkan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mempunyai kefahaman mendalam terhadap peranan suci badan kehakiman dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Ketika menjawat jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, beliau pernah menarik diri daripada mendengar satu kes berprofil tinggi melibatkan permohonan kemasukan Queen’s Counsel, Jonathan Laidlaw dalam perbicaraan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Seri Paduka membuat keputusa itu atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Mohamad Ezri berkata, Wan Ahmad Farid turut menyatakan pandangan penting mengenai kepercayaan awam terhadap badan kehakiman termasuk menegaskan bahawa kebebasan kehakiman tidak seharusnya diragui oleh masyarakat dalam membuat keputusan itu.
“Kami mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada beliau dalam menerajui badan kehakiman dengan penuh integriti dan keberanian,” ujarnya.
Wan Ahmad Farid menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu setelah menerajui badan kehakiman selama enam tahun.
Sementara itu, Majlis Peguam turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Abu Bakar Jais atas pelantikan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan serta Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak. – UTUSAN